Kecewa dengan Allah? Adakah Wajar Anda Menyalahkan Takdir-Nya?
Nurul Atikah Sarji
2026-01-19
Setiap insan pasti pernah berdepan kekecewaan terhadap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan lalu. Saat impian tidak tercapai dan harapan terlerai, kita mula bermonolog dalam diam, adakah semua ini salah takdir Allah?
"Mengapa aku diuji sedemikian rupa?" Soalan-soalan ini berlegar di hati, menuntut jawapan antara reda dan keluh kesah.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman webnya, beriman dengan qada’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan iman. Bahkan, Nabi SAW menegaskan bahawa seorang Muslim wajib beriman kepada ketentuan Allah sama ada yang baik mahupun buruk. Allah SWT juga menjelaskan dalam Al-Quran bahawa setiap perkara diciptakan menurut takdir-Nya. Ini menunjukkan bahawa segala yang berlaku dalam hidup manusia merupakan ketentuan Allah SWT.
Menyalahkan takdir bermaksud seseorang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Allah atas dosa, kegagalan atau kesilapan yang berlaku, seolah-olah dirinya tidak bertanggungjawab langsung. Sikap seperti ini dilarang dalam Islam. Ia sama seperti alasan kaum musyrikin dahulu yang menyalahkan takdir untuk membenarkan kesyirikan dan keingkaran mereka. Hakikatnya, manusia tetap diberikan akal, pilihan dan usaha, dan setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT.
Walaupun segala sesuatu berlaku dengan izin Allah, takdir tidak menafikan kewajipan untuk berusaha. Islam mengajar keseimbangan antara ikhtiar dan tawakal. Seorang Muslim wajib berusaha sebaik mungkin, berdoa dan kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah dengan hati yang reda. Selepas usaha dilakukan, barulah kita menerima keputusan sebagai ketentuan Allah yang pasti mengandungi hikmah.
Perasaan sedih, kecewa atau terkilan apabila diuji adalah fitrah manusia dan tidak berdosa. Namun yang dilarang ialah memarahi Allah, menganggap Allah tidak adil, atau mengeluarkan kata-kata menyalahkan takdir. Nabi SAW mengingatkan agar seorang Muslim sentiasa bersangka baik kepada Allah sehingga akhir hayatnya. Bersangka baik bermaksud meyakini bahawa Allah Maha Penyayang, Maha Adil dan tidak pernah menzalimi hamba-Nya.
BACA: Israk Mikraj: Peristiwa Agung yang Membina Keyakinan dan Arah Kehidupan Mukmin
Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, sabda Nabi SAW:
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT
(Hadis riwayat Muslim, 2877)
Kesimpulannya, menyalahkan takdir atas apa yang berlaku dalam hidup adalah sikap yang bertentangan dengan ajaran Islam. Apa yang telah berlaku adalah ketentuan Allah yang penuh hikmah, manakala manusia tetap bertanggungjawab atas usaha dan pilihannya. Tugas kita sebagai hamba ialah berusaha, berdoa, bersabar dan reda dengan ketentuan-Nya. Setiap ujian hidup bukan tanda Allah membenci, tetapi cara Allah mendidik dan menguatkan iman hamba-Nya.
Wallahu a‘lam.