Jangan Cepat Masak Daging Korban, Tunggu Tujuh Jam Dulu
Marini Mat Zain
2026-05-12
Orang tua-tua dulu sering berpesan, “daging korban yang masih segar kena cepat masak, nanti tak sedap.” Ia menjadi amalan turun-temurun setiap isi rumah, terutama ketika musim korban apabila orang dapur akan sibuk memasak pelbagai hidangan seperti gulai, sup dan rendang daging.
Namun, di sebalik kenangan itu, ada satu perkara yang semakin ramai mula sedar hari ini, iaitu cara pengendalian daging selepas sembelihan sebenarnya memainkan peranan besar terhadap kebersihan, kualiti dan keselamatan makanan.
Menurut perkongsian yang tular dan penjelasan daripada beberapa pihak berautoriti, daging korban tidak semestinya terus dimasak sebaik sahaja diterima.
Sebaliknya, proses yang lebih disarankan ialah:
- Daging dibersihkan secara asas selepas diterima
- Disimpan dalam bekas bertutup
- Diletakkan di bahagian chiller (bukan terus dibekukan) simpan selama tujuh jam
Langkah ini dipercayai membantu proses penstabilan suhu daging serta pengurusan cecair yang masih ada selepas sembelihan, sebelum ia diproses untuk masakan atau simpanan jangka panjang.
“Selepas tujuh jam penyejukan, daging boleh dicuci semula mengikut keperluan sebelum dimasak,” ujar Ustaz Syamsul Debat

Apa yang menarik, amalan lama ini sebenarnya lahir daripada pengalaman, bukan semestinya salah, tetapi terbentuk daripada kefahaman generasi terdahulu tentang kesegaran daging.
Namun kini, dengan adanya ilmu veterinar dan garis panduan kesihatan makanan, cara pengendalian daging menjadi lebih teratur dan selamat.
Dalam Islam sendiri, kebersihan adalah asas penting dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan Dia menyukai kebaikan, Dia bersih dan menyukai kebersihan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dan dalam satu prinsip umum Islam juga menekankan:
لا ضرر ولا ضرار
(Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain)
Ini menunjukkan bahawa dalam apa juga amalan termasuk pengurusan makanan, aspek kebersihan dan keselamatan adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Musim korban bukan sekadar tentang daging dan hidangan. Ia juga tentang kenangan dapur yang sibuk, keluarga berkumpul, dan aroma masakan yang menjadi memori zaman kecil.
Namun, seiring masa, ilmu dan pemahaman turut berkembang. Apa yang penting hari ini bukan sekadar cepat masak, tetapi betapa bersih dan selamatnya daging itu sampai ke meja makan kita.
Pengendalian daging korban yang betul bukan sahaja menjaga rasa, tetapi juga memastikan ia lebih bersih, selamat dan berkualiti untuk dimakan.
Dan mungkin, inilah evolusi kecil daripada pesan orang lama dari ‘cepat masak’ kepada ‘urus dengan betul’, selari dengan ilmu moden dan juga tuntutan kebersihan dalam Islam.