Jangan Buka Aib Sendiri Sesuka Hati
Hanan Latip
5/3/2024
Sebenarnya, Allah SWT telah menjaga aib setiap umatnya agar tidak dapat dilihat oleh orang lain. Sebab itulah, anda wajib bersyukur kerana aib dan kekurangan kita telah ditutup oleh Allah SWT dan tidak sewenang-wenangnya bercakap mengenai kekurangan diri atau dosa yang telah dilakukan.
Setiap Muslim juga wajib menjaga air muka sendiri dengan menjaga percakapan dan perlakuan. Sebagai contoh, anda tidak perlu memberi tahu kepada orang lain bahawa anda tidak melakukan solat, telah melakukan kejahatan dan menceritakan kekurangan diri kerana membuka aib diri sendiri. Hal ini kerana, dari tidak diketahui orang dan kini telah diketahui ramai!
Mengapa Kita Perlu Menjaga Aib Sendiri?
Ada beberapa sebab mengapa Islam menekankan pentingnya menjaga privasi dan tidak membicarakan tentang aib:
1. Menghormati Privasi Seseorang
Setiap individu memiliki hak atas privasi mereka, dan membicarakan aib diri sendiri atau orang lain tanpa izin merupakan pelanggaran terhadap hak tersebut. Menjaga privasi adalah cara untuk menghormati martabat dan kehormatan setiap individu.
2. Mencegah Fitnah
Membicarakan aib sendiri atau orang lain tanpa alasan yang sah dapat menciptakan fitnah, iaitu menyebarkan informasi palsu yang boleh merosakkan reputasi seseorang. Sebab itu Islam sangat menekankan pentingnya umat Islam menghindari fitnah kerana boleh menyebabkan kerosakan besar dalam masyarakat.
3. Keharmonian dalam Bermasyarakat
Membuka aib ibarat membuka peluang kepada orang lain untuk melaga-lagakan antara individu atau kelompok. Selain itu juga, ia seperti mengajak orang lain untuk membenci diri sendiri kerana gemar mencanang kekurangan diri. Walhal, Allah SWT sudah mengatakan berdosa mendedahkan aib sendiri dengan tujuan berbangga dengan kemungkaran tersebut.
Buka aib sendiri kepada khalayak ramai dilarang sama sekali kerana anda telah menutup pintu rahmat Allah SWT yang ada di dunia ini. Begitu juga dengan aib orang lain kerana adalah lebih baik aib tersebut berakhir pada diri kita saja.
Nabi SAW berpesan:
“Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di hari Kiamat.” (HR Muslim)
Jenis Aib Yang Boleh Didedahkan Mengikut Syarak
Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang:
- Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
- Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
- Meminta fatwa daripada mufti.
- Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
- Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
- Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.
Jika selain dari itu, tidak usah untuk membuka aib sendiri dan orang lain. Ataupun, anda boleh dapatkan pandangan dan pendapat dari para ustaz yang diperayai.
Doa Agar Dilindungi Daripada Aib
Dalam Sahih Ibn Hibban, doa ini diriwayatkan dari Abdullah bin ‘Umar yang mendengar bahawa Rasulullah SAW selalu membaca doa ini pada waktu pagi dan petang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: Ya Allah, aku memohon keselamatan dunia dan akhirat pada-Mu. Aku memohon ampunan dan keselamatan agama, dunia, keluarga, dan hartaku. Tutupilah segala keaibanku, dan amankanlah ketakutanku, jagalah depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku berlindung pada-Mu dari musibah yang tak terduga.
Semoga dapat doa tersebut boleh dijadikan amalan dan melindungi diri dari apa saja perkara dan manusia yang cuba menjatuhkan diri dengan keaiban tersebut.
Sebab itulah, kita perlu menjaga aib sendiri dan juga orang lain demi menjaga kehormatan, kedamaian dalam bermasyarakat. Selamat beramal!
BACA:
Perih Jerih Penghijrahan dan 8 Tip Kekal Istiqamah Khusus untuk Wanita
Panduan Umrah buat Wanita Datang Haid
6 Port Makan Sambil 'Healing' di Sekitar Sekinchan & Kuala Selangor