Iktibar Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim & Nabi Ismail untuk Kehidupan Masa Kini

Ayu Nadirah

5/14/2024

Iktibar_Kisah_Pengorbanan_Nabi_Ibrahim_&_Nabi_Ismail_untuk_Kehidupan_Masa_Kini.png

Sepanjang hidup anda pastinya tidak terlepas daripada melakukan pengorbanan. Ia adalah sebuah ujian yang diturunkan Allah bagi menguji keimanan dan ketakwaan hamba-hambaNya. Jika seorang hamba itu berjaya melaluinya dengan penuh kesabaran, maka dia akan diberi ganjaran pahala yang amat besar di sisi Allah. Kemuncak sebuah pengorbanan boleh anda lihat melalui kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.

Sejarah Nabi Ibrahim Meyembelih Anaknya

Nabi Ibrahim AS adalah nabi yang diberi gelaran Khalilullah iaitu sahabat Allah. Baginda antara nabi yang diuji dengan ujian berat, namun mempunyai tahap kesabaran yang cukup tinggi. Semuanya dilakukan semata-mata untuk menuruti perintah Allah SWT. Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 124:

surah_al-Baqarah_ayat_124.png

Maksudnya: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia." Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) daripada keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)." Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Nabi Ibrahim telah berkahwin dengan Sarah, namun mereka diuji dengan tidak dikurniakan anak berpuluh tahun lamanya. Namun, baginda sentiasa memanjatkan doa dengan bersungguh-sungguh agar dikurniakan anak yang soleh. Kemudian, ditakdirkan Nabi Ibrahim menikahi Hajar dengan tujuan dapat mengembangkan generasi untuk perjuangan dakwahnya. Perkahwinan ini akhirnya menerima khabar gembira apabila mereka dikurniakan Allah seorang anak lelaki bernama Ismail ketika baginda berusia 86 tahun.

Sewaktu Nabi Ismail masih bayi, Nabi Ibrahim diduga apabila Allah memerintakan baginda agar meninggalkan hajar dan Nabi Ismail di sebuah lembah kering kontang dan tandus yang kini adalah Mekah. Ketika itu, mereka hanya dibekalkan dengan kurma dan sedikit air. Pada awalnya, baginda agak keberatan untuk meninggalkan isteri dan anak tercinta di kawasan seperti itu. Namun, atas hakikat cinta dan ketaatannya kepada Allah, Nabi Ibrahim reda dan menurut perintah itu dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah akan menjaga mereka.

Seterusnya, kisah Nabi Ibrahim yang menyembelih anaknya merupakan suatu kisah penting di sebalik pensyariatan ibadah korban dalam Islam. Nabi Ibrahim telah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail melalui mimpi. Hal ini disebut dalam surah as-Saffat ayat 102:

surah_as-Saffat_ayat_102.png

Maksudnya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar."

Sesungguhnya, mimpi berkenaan adalah wahyu daripada Allah. Nabi Ismail pula ketika itu sudah mencecah usia baligh. Apabila telah tiba waktu penyembelihan, Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya agar dirinya diikat dengan tali, dibaringkan dan wajahnya berpaling ke tanah supaya tidak timbul rasa kasihan. Nabi Ismail juga berpesan agar menajamkan pisau yang akan digunakan untuk penyembelihan, supaya proses itu berjalan dengan mudah dan cepat tanpa menyiksakan. Setelah semuanya sedia dan kedua-dua mereka berserah diri kepada Allah, Nabi Ibrahim mula menjalankan perintah Allah itu.

Kemudian, pada saat itulah datangnya wahyu Allah bahawa Dia telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas (kambing) yang sempurna tanpa sebarang kecacatan. Sebagaimana firman Allah dalam surah as-Saffat ayat 107:

surah_as-Saffat_ayat_107.png

Maksudnya: "Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar."

Iktibar_Kisah_Pengorbanan_Nabi_Ibrahim_&_Nabi_Ismail_untuk_Kehidupan_Masa_Kini_2.png

Iktibar Pengorbanan untuk Kehidupan Masa Kini

Setelah mendalami kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, ia jelas membuktikan bagaimana sepatutnya sifat seorang hamba tatkala berhadapan dengan perintah dan suruhan Allah. Biarpun tidak tahu akan hikmah di sebalik setiap ujian dan pengorbanan, layaknya seorang hamba itu sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Setiap perkara yang diambil oleh Allah atau perlu dikorbankan, pasti akan Allah ganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik. Selain dikurniakan pahala dan ganjaran besar atas kesabaran dalam menempuh ujian tersebut.

Kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini adalah lambang kerendahan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba kepada Allah Yang Maha Besar. Kita juga wajib untuk mentaati setiap perintah dan mendahulukan Allah. Rasa cinta kepada Sang Pencipta mengatasi kecintaan terhadap keluarga dan dunia. Diri dan keluarga yang dibangunkan atas dasar keimanan kepada Allah mampu membawa kita ke syurgaNya.