Hukum Wuduk Guna Air Banjir & Cara Solat dalam Air

Ayu Nadirah

7/2/2025

Cara Solat Semasa Banjir_ Hukum Wuduk Guna Air Banjir & Solat dalam Air.pngNegeri pantai timur dan utara kerap kali diuji dengan banjir. Bencana alam ini telah menimbulkan seribu satu kegusaran dan kekeliruan umum, apatah lagi apabila menyentuh soal ibadah sewaktu dilanda musibah.

Bagaimana menunaikan solat semasa menghadapi banjir? Sekiranya rumah anda dimasuki air yang banyak, apakah cara terbaik untuk solat? Biarpun sedang menghadapi banjir, namun jangan jadikan ia sebagai alasan untuk mengambil ringan tentang solat. Berikut adalah sedikit perkongsian daripada Ustaz Wadi Annuar yang tampil merungkai persoalan hukum menunaikan solat semasa banjir.

Hukum Berwuduk dengan Air Banjir

Berwuduk melibatkan perbuatan membasuh anggota badan tertentu menggunakan air suci. Namun, mangsa banjir boleh menggunakan air banjir sebagai medium bersuci. Hukumnya adalah sah kerana air banjir kebiasaannya datang dari air sungai dan air hujan yang kedua-duanya adalah air mutlak.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

“Sekiranya air berubah pada warna, bau dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur) dan kesemua yang susah untuk dipelihara daripadanya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.

“Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi dan menghilangkan najis, maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.”

Hukum Solat Memakai Pakaian Terkena Banjir

Sah hukumnya, selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda jelas ia telah terkena najis.

Hukum dan Cara Solat dalam Air

Hukum menunaikan solat semasa banjir adalah wajib. Sementara hukum menunaikan solat di dalam air adalah sah, sekiranya sudah pasti tiada tempat kering dan kesemua rukun solat dapat dilaksanakan dengan sempurna. Wajib rukuk dan sujud seperti biasa sekiranya mampu dan paras air tidak terlalu tinggi.

Solat dalam banjir.png

Namun, sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja, seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk tetapi tidak mencecah ke dalam air sebagai isyarat bagi perbuatan sujud.

Hukum Solat Jamak Semasa Banjir

Pendapat muktamad dalam mazhab Imam al-Syafie menyatakan tidak boleh solat jamak semasa berlakunya banjir. Akan tetapi, jika ada kesukaran seperti perlu menyelamatkan diri, maka boleh mengikut pendapat sebahagian ulama seperti al-Nawawi.

Hukum Menunaikan Solat Jumaat Semasa Banjir

Wajib menunaikan solat Jumaat sekiranya tempat penempatan mangsa banjir mencukupi 40 orang yang diwajibkan Jumaat ke atas mereka. Namun, tidak wajib sekiranya terkandas di dalam rumah akibat banjir.

Baca juga: 13 Rukun Solat & Rukun Qauli Supaya Solat Sah