Hukum Menunaikan Haji dengan Wang Haram: Sah atau Tidak?

Nurul Atikah Sarji

5/9/2025

Menunaikan haji adalah impian dan tanggungjawab besar bagi setiap Muslim yang berkemampuan. Namun, bagaimana pula jika seseorang menunaikan haji dengan wang yang haram? Adakah hajinya diterima ataupun tidak?

_Template images for blog 2.0 (53).png

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama telah membahaskan isu ini secara panjang lebar dan mempunyai dua pendapat utama iaitu: 

  1. Haji Tidak Sah (Pendapat Imam Ahmad)
    Imam Ahmad berpendapat bahawa haji yang dilakukan dengan wang haram adalah haram dan tidak sah serta tidak diterima. Pandangan ini berdasarkan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan yang baik," Riwayat Muslim, 1015.

    Jadi, menurut pandangan ini, ibadah yang dipersembahkan kepada Allah perlu datang daripada sumber yang halal dan bersih agar ia diterima.
     

  2. Haji Sah Tapi Berdosa (Pandangan Jumhur Ulama)
    Majoriti ulama seperti Imam Syafi’i, Maliki dan Hanafi berpandangan bahawa haji tetap sah, tetapi individu tersebut berdosa kerana menggunakan sumber yang haram. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Majmu; bahawa sekiranya seseorang menunaikan haji dengan harta haram atau menggunakan haiwan tunggangan yang dirampas, maka dia telah melakukan dosa, namun hajinya tetap dikira sah kerana syarat dan rukun haji itu masih terlaksana.

    Sebagaimana hadis ini: "Sesiapa yang menunaikan haji dengan wang haram, apabila dia bertalbiah akan dikatakan kepadanya: 'Tidak diterima seruanmu dan hajimu tertolak ke atasmu," Rujuk Hasyiah al-Bujairami, 2/423.

    Walaupun hadis ini disebut oleh ulama, ia difahami sebagai satu peringatan keras terhadap perbuatan tersebut, bukan dalil tidak sah haji daripada sudut hukum fekah.

    _Template images for blog 2.0 (51).png

Oleh itu, setiap bakal jemaah haji perlu memastikan sumber kewangan mereka adalah halal dan bersih. Ibadah haji adalah peluang yang sangat berharga, dan pastinya anda semua ingin meraih haji yang mabrur, iaitu haji yang diterima dan menjadi sebab keampunan serta ganjaran besar daripada Allah SWT.