Hukum Gaya Hidup Childfree Menurut Syarak
Ayu Nadirah
6/25/2024
Sejak kebelakangan ini, trend childfree sering diperkatakan ramai dan kian menjadi pilihan terutamanya pasangan muda yang baru berkahwin. Sebelum ini ikhlas.com pernah mengupas mengenai isu childfree. Anda boleh baca di pautan ini: Boleh ke Berkahwin Tetapi Tidak Mahu Anak? Namun, apakah itu childfree? Childfree adalah pilihan atau kemahuan pasangan yang berkahwin untuk tidak memiliki anak dan persetujuaan ini terjalin antara kedua-dua suami dan isteri.
Terdapat banyak faktor yang mendorong sesetengah pasangan dalam memilih gaya hidup childfree. Ada yang membuat keputusan ini kerana faktor ekonomi yang mendesak. Hakikatnya, ada juga pasangan yang terjebak dengan ideologi yang mengangkat kebebasan bahawa tubuh individu adalah hak individu, sementara yang lainnya mahukan gaya hidup childfree yang dianggap lebih tenang dan kurang komitmen. Segalanya bergantung kepada niat dan pilihan masing-masing. Namun, pilihan gaya hidup childfree ini adakah mematuhi syarak? Apakah hukum pasangan yang tidak mahukan anak dalam kehidupan berkeluarga?
Tujuan dan Asas Perkahwinan
Dipetik daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, keluarga yang dibina melalui tali pernikahan adalah sunah Rasulullah SAW yang amat dituntut. Ia adalah fitrah lelaki dan perempuan yang saling memerlukan untuk hidup berkasih sayang selaras dengan kehendak syarak. Menurut Imam al-Khadimi, antara tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan dan memperbanyakkan zuriat, bahkan ia termasuk dalam tujuan asal dan asas kepada perkahwinan.
Hukum Kemahuan Childfree dalam Perkahwinan
Islam tidak mewajibkan pasangan untuk memiliki anak, juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak. Pilihan gaya hidup childfree mestilah mendapat persetujuan bersama suami dan isteri kerana memiliki anak adalah hak setiap individu yang berpasangan. Selain itu, persetujuan untuk tidak memiliki anak adalah diharuskan jika terdapat sebarang kemaslahatan tertentu. Hukum childfree bergantung kepada beberapa pertimbangan dan sebab seperti di bawah, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
a) HUKUM HARUS
Pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebab-sebab yang diambil kira oleh syarak seperti terdapat kemudaratan dan keuzuran yang boleh menyebabkan penyakit teruk atau kematian. Hukumnya harus dengan syarat menggunakan kaedah pencegahan kehamilan yang tidak memudaratkan dan selari dengan syarak. Keadaan ini juga merujuk kepada perancangan keluarga, di mana suami isteri bersepakat untuk tidak memiliki zuriat dalam tempoh tertentu atas sebab tertentu dengan kaedah merancang kelahiran. Ia dibenarkan selagi tidak melibatkan pemandulan kekal atau pengguguran.
Hal ini telah dijelaskan oleh Syeikh al-Bujairimi dalam hasyiahnya:
أما ما يبطئ الحبل مدة ولا يقطعه من أصله فلا يحرم كما هو ظاهر بل إن كان لعذر كتربية ولد لم يكره أيضا وإلا كره
Maksudnya: “Adapun sesuatu yang melambatkan kehamilan dalam suatu tempoh dan tidak memutuskannya (kehamilan) secara asalnya, maka tidak haram sepertimana yang zahir. Bahkan, jika atas sebab keuzuran seperti pendidikan anak, hukumnya tidak makruh. Namun, jika tiada keuzuran maka hukumnya makruh.”
b) HUKUM MAKRUH
Pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti hanya mengikut keinginan untuk bebas daripada tanggungjawab. Hukumnya adalah makruh kerana terpengaruh dengan budaya childfree yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan dan tidak mengikut sunah Nabi untuk meramaikan umat Islam.
c) HUKUM HARAM
Pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya, malah melakukan pelbagai cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) atau menggugurkan kandungan tanpa pengesahan pakar, perbuatan ini jatuh kepada hukum haram. Ini adalah suatu bentuk pembatasan anak yang tidak selari dengan hukum agama.
Sebagai seorang Muslim, perkahwinan adalah medium untuk menggapai kesempurnaan agama. Ia termasuklah dalam urusan memiliki anak dan mewujudkan sebuah keluarga yang memahami agama. Setiap pasangan yang sudah berkahwin atau sedang merancang, perlu peka bahawa kehadiran anak bukanlah suatu beban, malah ia merupakan anugerah Allah dan menjadi kelangsungan pahala buat ibu dan bapa.