Hukum Gabung Puasa Enam Syawal dan Puasa Ganti
Hanan Latip
4/17/2024
Bila kita sudah masuk ke bulan Syawal, pasti anda mempunyai persoalanan "Boleh ke gabung puasa 6 Syawal dengan puasa ganti?" Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita, bagi memudahkan urusan mereka untuk berpuasa. Mari kami rungkaikan!
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Puasa ini sunat dan amalan yang afdal dikerjakan secara berturut-turut dari awal bulan Syawal. Tetapi, jika tidak dapat dibuat secara berturutan ia turut tidak menjadi masalah.
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Hal ini kerana, tarikh 1 Syawal adalah hari raya Aidilfitri, hari yang dilarang berpuasa. Maka, anda boleh mula berpuasa pada hari raya kedua atau pada bila-bila masa yang lapang.
Abu Hurairah RA berkata:
“Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” (Al-Bukhari no: 1991)
Mengenai hukum gabung puasa enam Syawal dan puasa ganti, hukumnya harus dan ianya boleh digabungkan . Tetapi, lebih afdal sekiranya melakukannya secara berasingan. (Fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyyah oleh Syeikh 'Atiyyah Saqar 9/261)
Niat Puasa Enam Syawal
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ سِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari syawal kerana Allah Taala.
Niat Puasa Enam Syawal Gabung Dengan Puasa Ganti (Qada’ Ramadan)
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ رَمَضَانَ مَعَ سِتَّةِ شَوَّالِ لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku berniat puasa esok hari qada’ fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.
Keistimewaan & Kelebihan Ibadah Dan Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim no: 1164)
Di dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan mendapat pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjarkan dengan sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjarkan dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Jangan lupa untuk berpuasa enam sepanjang bulan Syawal ini ya! Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjawab persoalan anda semua. Selamat beramal.