Hari Arafah: Kegiatan Sunah yang Boleh Dilakukan
Nurul Atikah Sarji
6/13/2024
![Hajj.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/blt8a58440d2ca4587d/666a6e653ab7db374c189911/Hajj.png)
Dalam sejarah Islam, hari Arafah merupakan satu hari yang sangat penting, di mana pada hari tersebut, umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji akan berkumpul di padang Arafah bagi melaksanakan wukuf yang merupakan salah satu rukun haji. Hari Arafah jatuh pada 9 Zulhijah, satu hari sebelum hari raya Aidiladha.
![Wukuf.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/bltf52194cb3e663eee/666a6e723ab7db927b189915/Wukuf.png)
Ketika wukuf, jemaah haji akan berdoa dan berzikir kepada Allah sambil menghadap kiblat dari waktu zuhur sehingga waktu maghrib. Selain dikenali sebagai hari Arafah, hari ini juga dikenali sebagai hari pengampunan dosa dan pemberian rahmat oleh Allah SWT.
Bagi kita yang masih tidak berkesempatan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini, terdapat beberapa amalan sunah yang boleh diamalkan bagi menggandakan lagi pahala kita pada hari Arafah.
Puasa Arafah
Puasa Arafah merupakan satu amalan sunah yang dianjurkan bagi umat Islam yang tidak melakukan haji. Bahkan, kata Rasulullah SAW, amalan ini akan menghapuskan doa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya (Hadis Riwayat Muslim 1162). Disebabkan itu, ayuh berpuasa pada 9 Zulhijah ini kerana mempunyai fadilat dan keutamaan yang sangat besar.
Niat Puasa Sunat Hari Arafah
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
“Saya berniat puasa sunat Arafah kerana Allah Taala.”
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut (hari Arafah) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]
Doa dan Zikir
Selain daripada berpuasa, anda juga dianjurkan untuk menggandakan amalan doa dan zikir. Sebagai umat Islam, kita perlu memohon keampunan daripada Allah, meminta kebaikan di dunia dan akhirat. Tidak dilupakan, anda juga perlu mendoakan saudara-saudara kita yang sedang menunaikan haji.
Beristighfar
Ketika hari Arafah, anda juga boleh memperbanyak istighfar atau memohon keampunan daripada Allah SWT. Hal ini kerana hari Arafah merupakan hari yang paling banyak diberikan ampunan daripada Allah SWT. Istighfar dapat dilakukan dengan mengucapkan “أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ” (Astaghfirullah) atau “أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ” (Astaghfirullah al-‘Azim).
Menggandakan Amalan Malam pada Hari Arafah
Anda boleh menggandakan amalan dengan pelbagai ibadah pada malam Arafah seperti solat tahajud, solat hajat dan tadarus al-Quran. Dengan menghidupkan malam Arafah, insya-Allah anda memperoleh keberkatan, keampunan dan rahmat Allah
Bersedekah
Amalan baik yang boleh anda gandakan pada hari Arafah adalah dengan bersedekah untuk orang yang memerlukan, tidak kiralah dalam bentuk wang ringgit, barangan mahupun makanan. Ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, tetapi membantu anda untuk membersihkan harta dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dengan melaksanakan amalan-amalan sunah ini pada hari Arafah, insya-Allah anda boleh memperoleh pahala dan keberkatan yang luar biasa. Semoga kita semua diberikan kekuatan dan kesabaran untuk menjalani amalan-amalan ini, dan semoga kita selalu mendapatkan hidayah dan petunjuk dari Allah SWT. Aamin.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.