'Gender Reveal' di Hadapan Kaabah? Ini Pengajarannya!
Marini Mat Zain
2025-12-26
Pendedahan jantina bayi atau ‘gender reveal’ pada asasnya adalah harus dan tidak mempunyai larangan khusus dalam Islam, selagi ia dilakukan secara sederhana dan tidak melanggar syariat. Namun, budaya ini bukanlah sebahagian daripada resam atau keutamaan dalam agama kita.
Apatah lagi apabila pendedahan tersebut dilakukan di tempat suci seperti di hadapan Kaabah, ia menimbulkan persoalan besar tentang adab, niat, dan batas kesederhanaan dalam beragama. Dalam Islam, bukan semua perkara yang harus itu wajar dilakukan, terutamanya apabila ia berpotensi melampaui adab dan mencemarkan kesucian ibadah.

Ketika berada di hadapan Kaabah, adab dan kesantunan wajar diutamakan, kerana ia bukan tempat untuk mempamerkan urusan peribadi. Kaabah adalah tempat yang dimuliakan Allah, dan diriwayatkan bahawa Allah menurunkan rahmat-Nya setiap hari kepada para jemaah yang bertawaf, bersolat, atau sekadar memandang Kaabah.
Surah Al-Hajj: 25
وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
“Dan sesiapa yang berniat melakukan kejahatan atau penyelewengan di dalamnya (Tanah Haram), Kami akan rasakan kepadanya azab yang pedih.”
Walaupun Kaabah hanyalah sebuah binaan batu, ia mempunyai keistimewaan dan kemuliaan tersendiri sebagai kiblat umat Islam. Apabila pendedahan jantina bayi dilakukan di depan kaabah, individu tersebut tidak berakhlak untuk pamerkan kepada khalayak.
Bimbang aktiviti yang melibatkan jurugambar, videografi dan ahli keluarga yang ikut berkumpul dan bersorak mengganggu mereka sekitar yang mahu kusyuk mahu beribadah.
“Kita sebagai umat islam raikan ikut cara kita. Adab terbaik di hadapan kaabah, ucap kegembiraan dan kesyukuran tetapi simpan. Berdoalah di depan kaabah agar anak bakal lahir jadi anak yang soleh atau solehan, alim dan taat,” ujar ujar Ustaz Zeinal Abidin, dari ikhlas.com.
Di hadapan Kaabah, kita boleh mensyukuri nikmat yang besar, termasuk kurniaan anak sebagai anugerah daripada Allah. Selain mengadakan kenduri kesyukuran, bersedekah di Tanah Haram juga merupakan salah satu cara menzahirkan rasa syukur. Elakkan daripada merakam atau mempamerkan momen tersebut mengikut gaya Barat demi menjaga adab dan keikhlasan.
Sekiranya mahu berkongsi juga, seelok-eloknya pastikan tidak nampak riak dan tunjukkan untuk kebaikan orang lain juga. Berkongsilah dengan hanya ahli keluarga dan sahabat handai yang logik untuk ikut gembira dengan berita baik ini.
Jangan merendahkan martabat Kaabah, Masjidil Haram, dan Makkah. Tiga destinasi ini adalah tempat kelas tertinggi kita menghambakan diri kepada Allah.
“Akhlak perlu dijaga. Mungkin kita rasa tidak salah kerana pengumuman dibuat ketika berada di tempat yang mulia, tetapi perbuatan sebegitu ibarat menyalahgunakan kesucian tempat itu. Apabila buat kesilapan, orang pun dah kecam, lebih baik muhasabah diri dan perbaiki diri. Masyarakat pun hentikanlah mengecam kerana kadang-kadang kita sebagai manusia biasa ada ketika terlepas pandang dan melakukan kesilapan tanpa sedar.”
Sebagai umat Islam, setiap perbuatan di Tanah Suci harus mencerminkan tawaduk, penghormatan, dan kesyukuran. Lebih utama, kita digalakkan menumpukan hati kepada doa, zikir, dan amalan soleh, bukannya acara yang bersifat hiburan atau mempamerkan diri. Semoga kisah ini menjadi pengajaran agar kita lebih menjaga adab dan menghormati kesucian Kaabah, Masjidil Haram, dan Makkah.