Dengan Siapa Anda Boleh dan Tidak Boleh Salam Semasa Beraya?
Hanan Latip
4/1/2024

Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tiba tidak lama lagi, pasti keadaan rumah di kampung menjadi lebih meriah dengan kepulangan adik-beradik juga saudara-mara yang datang berziarah. Dengan keseronokan berjumpa dengan saudara-mara, tetap ada batasnya. Mungkin ada yang tidak tahu lagi dengan siapa anda patut menjaga batas dan sejauh manakah batas yang patut diletakkan?
Umat Islam tidak sepatutnya mengambil mudah dengan batas pergaulan dan aurat dengan saudara-mara kerana walaupun mempunyai pertalian darah, tetap mempunyai batasan yang wajib dipatuhi. Mari kami kongsikan kepada anda dalam bentuk yang lebih mudah. Teruskan membaca!
Mahram ialah individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat. Anda boleh bersalaman, boleh bersendirian dan haram berkahwin dengannya.
Bukan mahram ialah individu yang tidak boleh bersalaman, boleh berkahwin dan tidak boleh berkhalwat dengannya.
Dalam kalangan saudara-mara, ada yang menjadi bukan mahram kepada anda. Maka, anda wajib jaga aurat dan batas dengan mereka. Berikut adalah senarai individu yang anda perlu menjaga batas aurat.
Dengan Siapa Wanita Perlu Menjaga Batas Aurat
- Suami kepada adik-beradik bapa (bapa saudara sabit)
- Suami kepada adik-beradik emak (bapa saudara sabit)
- Adik-beradik lelaki bapa mertua (bapa saudara suami)
- Adik-beradik lelaki emak mertua (bapa saudara suami)
- Anak lelaki adik-beradik suami (anak saudara sabit)
- Abang ipar
- Adik ipar lelaki
- Sepupu lelaki
- Sepupu ayah (lelaki)
- Sepupu emak (lelaki)
Dengan Siapa Lelaki Perlu Menjaga Batas Aurat
- Isteri kepada adik-beradik bapa (ibu saudara sabit)
- Isteri kepada adik-beradik emak (ibu saudara sabit)
- Adik beradik perempuan bapa mertua (ibu saudara isteri)
- Adik beradik perempuan emak mertua (ibu saudara isteri)
- Anak perempuan adik beradik isteri (anak saudara sabit)
- Kakak ipar
- Adik ipar perempuan
- Sepupu perempuan
- Sepupu ayah (perempuan)
- Sepupu emak (perempuan)
Bapa saudara sabit atau ibu saudara sabit bermaksud suami kepada mak saudara atau isteri kepada ayah saudara, sama ada sebelah ibu atau sebelah ayah. Mereka adalah bukan mahram untuk anda. Jadi, aurat hendaklah dijaga dengan sempurna daripada segi pakaian, tubuh badan dijaga sejak akil baligh dan rambut (bagi Muslimah).
Tetapi, jika anda telah menjadi anak susuan kepada mak saudara, maka bapa saudara sabit tadi telah menjadi bapa susuan anda. Mudah kata, bapa saudara anda telah menjadi seperti bapa kandung.
Bersalaman dengan Saudara-mara


Berdasarkan gambar dan senarai yang kami kongsikan, anda tidak boleh bersalaman dengan mereka malah diwajibkan untuk menutup aurat dan menjaga batas. Kadangkala, anda bersalaman atau tidak menutup aurat dengan mereka kerana tidak tahu ataupun sudah terbiasa. Jika sudah terbiasa, anda perlu mula untuk menjaga batas aurat dan elakkan bersentuhan dengan saudara bukan mahram. Anda boleh menolak dan memberitahu dengan baik. Perkara seperti ini tidak membataskan pergaulan anda dengan saudara-mara.
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua orang Islam lebih-lebih lagi bagi anda yang tidak tahu. Jangan lupa kongsikan agar semua tahu perkara ini. Selamat beramal!