Cara Tunaikan Solat Hajat
Ayu Nadirah
3/18/2024
Setiap hamba pasti mempunyai hajat dan keinginan dalam hidup yang memerlukan usaha lebih untuk mendapatkannya. Solat sunat hajat dilakukan sebagai tambahan kepada solat fardu yang membolehkan hamba Allah yang beriman untuk memohon permintaan khusus, selama mana ia memberi manfaat dan bukannya mudarat.
Cara Solat Hajat
Daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami R.anh beliau berkata: Rasulullah SAW pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda:
“Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhlukNya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca:
Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan,” Riwayat Ibn Majah (1384).
Di sini, kami kongsikan cara solat hajat mudah yang boleh anda lakukan. Seperti solat yang lain, anda perlu mengambil wuduk yang sempurna terlebih dahulu. Lakukan solat hajat sebanyak dua rakaat, pada bila-bila masa sahaja kecuali waktu yang dilarang untuk solat. Panduan lengkapnya adalah seperti berikut.
Rakaat Pertama
- Berdiri tegak, menghadap kiblat dan memandang ke arah tempat sujud.
- Berniat solat hajat iaitu “Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat tunai kerana Allah Taala” ketika takbiratul ihram.
- Kemudian membaca doa iftitah. Hukum membaca doa iftitah adalah sunat hai’ah. Solat hajat tetap sah jika doa ini tidak dibaca. Jika dibaca, akan mendapat pahala.
- Seterusnya membaca surah al-Fatihah. Ini adalah rukun solat dan wajib dibaca.
- Setelah itu, membaca surah al-Kafirun. Boleh juga membaca mana-mana surah yang mudah dan telah dihafal.
Rakaat Kedua
- Selepas bangun daripada sujud kedua pada rakaat pertama, mulakan dengan membaca surah al-Fatihah.
- Kemudian membaca surah al-Ikhlas atau mana-mana surah lain yang telah dihafal.
- Teruskan langkah seperti solat yang biasa sehingga salam.
- Setelah itu, baca doa seperti yang ditunjukkan di atas atau doa lain yang ingin anda baca. Perbanyakkan istighfar, zikir dan selawat. Mohon semua hajat anda dengan sepenuh keyakinan kepada Allah dan bersungguh-sungguh.
Kesimpulannya, solat sunat hajat dilaksanakan bukan sekadar untuk memohon sesuatu permintaan kepada Allah semata-mata, bahkan ia menjadi satu langkah untuk mendekatkan lagi diri kepada Tuhan Yang Maha Esa dan memperoleh rahmatNya. Ibadah tambahan yang berterusan seperti solat sunat dan zikir dijanjikan pahala kebaikan yang besar oleh Allah. Semoga kebergantungan hidup kita hanya kepada Allah kerana hanya Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya. Bersandarlah kepada Allah dan bukannya makhluk. Semoga setiap hajat, doa dan keinginan kita di dunia mahupun akhirat tercapai dalam reda Allah SWT.