Cara Tunai Solat Sunat Tarawih

Ayu Nadirah

2/6/2024

Cara_Solat_Sunat_Tarawih.jpg

Bulan Ramadan yang penuh rahmat sentiasa dinanti-nanti umat Islam seluruh dunia. Selain berpuasa pada siang hari, antara perkara lain yang menjadikan bulan ini istimewa adalah dengan kehadiran solat sunat tarawih. Sama-samalah kita menghidupkan malam di bulan Ramadan dengan tujuan menggapai keredaan Allah. Rebut juga kelebihan besar beribadat di malam Lailatul Qadar seperti dalam firman Allah pada ayat 3, surah al-Qadr yang bermaksud: "Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan yang lain."


Hukum solat tarawih

Hukumnya adalah sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut). Dikerjakan oleh orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah. 


Hikmah solat tarawih

Meskipun hukum solat tarawih adalah sunat, namun barang siapa yang mendirikan solat tarawih di bulan Ramadan dan mengharap pahala dari sisi Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Hadis_puasa.png

Waktu solat tarawih

Ditunaikan selepas solat fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat.


Rakaat solat tarawih

Kebiasaannya, umat Islam menunaikan sebanyak lapan rakaat ataupun 20 rakaat.


Cara menunaikan solat tarawih

Pastikan berdiri dalam keadaan suci dan berwuduk. 


Rakaat pertama

  1. Berdiri tegak, menghadap kiblat dan memandang ke arah tempat sujud.
  2. Berniat solat sunat tarawih iaitu “sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Taala” atau "sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala" ketika takbiratul ihram.
  3. Kemudian membaca doa iftitah. Hukum membaca doa iftitah adalah sunat hai’ah. Solat tarawih tetap sah jika doa ini tidak dibaca. Jika dibaca, akan mendapat pahala.
  4. Seterusnya membaca surah al-Fatihah. Ini adalah rukun solat dan wajib dibaca.
  5. Setelah itu, membaca surah al-Kafirun. Boleh juga membaca mana-mana surah yang mudah dan telah dihafal.

Rakaat kedua

  1. Selepas bangun daripada sujud kedua pada rakaat pertama, mulakan dengan membaca surah al-Fatihah.
  2. Kemudian membaca surah al-Ikhlas atau mana-mana surah lain yang telah dihafal.
  3. Teruskan langkah seperti solat sunat yang lain sehingga salam. 

Solat sunat tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat demi dua rakaat, dengan setiap dua rakaat satu salam. Dua rakaat diulang sehingga genap rakaat yang dikehendaki, iaitu lapan atau 20 rakaat.


Solat sunat witir

  1. Setelah selesai solat sunat tarawih, lakukan pula solat sunat witir sebanyak tiga rakaat dengan dua kali salam.
  2. Lafaz niat solat sunat witir bagi dua rakaat pertama: “Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala.”
  3. Lafaz niat solat sunat witir bagi rakaat terakhir: “Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.”
  4. Kemudian laksanakan solat seperti solat sunat yang lain.


Datangnya hanya sekali dalam setahun. Jadi meriahkanlah bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadat supaya kita dapat meraih keampunan dan pahala yang berlipat kali ganda daripada Tuhan Yang Maha Esa.