Cara Betul Ambil Wuduk dan Perkara yang Membatalkannya
Ayu Nadirah
4/15/2024
Islam amat menitikberatkan soal kebersihan. Apatah lagi sebelum menunaikan kewajipan seperti solat, umat Islam dituntut untuk menyucikan diri daripada hadas besar mahupun kecil. Sebelum menunaikan solat, wuduk adalah perbuatan wajib dilakukan yang mana ia adalah perbuatan meratakan air pada anggota badan. Daripada segi syarak, wuduk diterjemah sebagai membersihkan sesuatu dengan perbuatan tertentu, iaitu dimulakan dengan niat, kemudian membasuh muka, kedua-dua belah tangan, kepala dan akhirnya kedua-dua belah kaki dengan syarat dan rukun tertentu. Wuduk hanya boleh dilakukan sekiranya anda mempunyai sumber air, namun jika tiada, wuduk boleh digantikan dengan tayamum.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur," Surah al-Maidah: 6.
Penting untuk menyempurnakan wuduk supaya ia dapat menjamin kesempurnaan solat. Syarat sah wuduk yang perlu anda tahu adalah pertama, orang yang mengambil wuduk mestilah Islam dan tahu membezakan yang mana baik dan buruk, bersih dan kotor, atau disebut sebagai mumaiyiz. Anda juga perlu suci daripada hadas besar terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk dan solat. Bagi wanita, pastikan tiada apa-apa bahan seperti mekap yang boleh menghalang air untuk sampai ke kulit. Gunakan air mutlak atau air yang suci untuk mengambil wuduk. Selain itu, pastikan anda berwuduk dengan sempurna iaitu dengan meratakan air pada anggota wuduk.

Rukun Wuduk
- Fardu atau rukun wuduk terdiri daripada enam perkara iaitu:
- Berniat untuk mengambil wuduk.
- Membasuh muka dengan meratakan air dari tempat tumbuh rambut kepala hingga kedua-dua tulang dagu serta antara cuping telinga dan anak telinga.
- Membasuh kedua-dua tangan hingga siku.
- Menyapu sebahagian daripada kepala.
- Membasuh kedua-dua kaki serta buku lali.
- Tertib.
Berikut pula adalah langkah penuh dalam menyempurnakan wuduk berserta perkara sunat wuduk untuk dilakukan:
- Niat dalam hati untuk berwuduk.
- Membaca bismillah sambil membasuh kedua-dua tangan dari pergelangan tangan hingga siku sebanyak tiga kali.
- Berkumur sebanyak tiga kali.
- Memasukkan air ke lubang hidung dan mengeluarkannya sebanyak tiga kali.
- Membasuh muka sebanyak tiga kali dari tempat tumbuh rambut kepala hingga bawah dagu dan dari telinga kanan ke telinga kiri.
- Basuh tangan hingga ke siku sebanyak tiga kali.
- Disunahkan untuk menyapu ke seluruh kepala. Mulakan dengan membasahi kedua-dua tangan dan letakkan telapak tangan di atas rambut bahagian depan, sapukan kedua-dua telapak tangan hingga ke bahagian belakang kepala dan tarik kembali ke bahagian depan. Ulang sebanyak tiga kali.
- Membasuh kedua-dua belah telinga sebanyak tiga kali.
- Membasuh kedua-dua kaki sehingga ke buku lali sebanyak tiga kali.
- Membaca doa selepas wuduk.

Perkara yang Membatalkan Wuduk
Setelah selesai mengambil wuduk dengan sempurna, anda perlu menjaganya dengan baik sehingga habis solat. Antara perkara yang boleh menyebabkan terbatalnya wuduk adalah keluar sesuatu dari qubul atau dubur seperti air kencing, tahi dan kentut. Tidur dalam keadaan yang tidak tetap punggungnya seperti tidur mengiring, terlentang, meniarap dan yang serupa dengannya juga boleh membatalkan wuduk anda. Selain itu, elakkan daripada bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Hilang akal atas sebab mabuk, gila, pitam atau sakit juga boleh menyebabkan wuduk terbatal.
Apakah hikmah disebalik berwuduk? Setiap anggota badan yang dikenakan wuduk terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk dan debu. Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kita untuk memperelokkan wuduk dan menjanjikan keluarnya dosa-dosa daripada diri. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengambil wuduk kemudian memperelokkan wuduknya, maka akan keluarlah dosa-dosanya daripada badannya, sehingga keluar juga dosa-dosa tersebut daripada kuku-kukunya,” Hadis Riwayat Muslim (1026).
BACA:
Cara Menaiki Haramain High Speed Railway dari Madinah ke Makkah