Bolehkah Korban Diniatkan untuk Arwah Ibu?

Nurul Atikah Sarji

2026-05-08

Menjelang Aidiladha, ramai antara kita mula terkenang insan tersayang yang telah pergi meninggal dunia, terutamanya arwah ibu. Dalam diam, hadir satu rasa ingin terus berbakti walaupun mereka sudah tiada, antaranya dengan melakukan ibadah korban atas nama arwah ibu sebagai tanda kasih, doa yang tidak pernah putus.

Namun, di sebalik niat yang penuh keikhlasan itu, terdapat beberapa perkara berkaitan hukum dan pelaksanaan yang perlu difahami agar ibadah korban yang dilakukan benar-benar menepati syariat. Ini kerana setiap pengorbanan yang dilakukan bukan sekadar menyempurnakan tuntutan ibadah, tetapi juga menjadi hadiah yang diharapkan dapat sampai kepada mereka yang telah mendahului kita.

Jadi,  bolehkah sekiranya si anak ingin melakukan ibadah korban di atas nama arwah ibunya yang telah meninggal dunia?

Menurut portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum melakukan korban bagi si mati merupakan perkara yang diperselisihkan dalam kalangan ulama. Majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebahagian ulama Syafi’i berpendapat bahawa korban untuk arwah adalah dibolehkan dan pahala ibadah tersebut boleh sampai kepada si mati. Pandangan ini bersandarkan kepada hadis daripada Saidatina Aisyah bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih korban berdoa:

“Bismillah, Ya Allah, terimalah daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad.” (Hadis Riwayat Muslim, No 1967).

2.jpg

Para ulama menjelaskan bahawa doa Baginda SAW untuk umatnya turut merangkumi mereka yang telah meninggal dunia, sekali gus menjadi dalil bahawa pahala korban boleh dihadiahkan kepada arwah. Selain itu, para ulama juga mengqiyaskan amalan korban dengan ibadah lain seperti sedekah dan haji yang dibolehkan bagi pihak si mati.

Selain itu, pendakwah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani juga menegaskan bahawa tiada korban untuk orang yang sudah meninggal dunia.

“Jika si mati telah mewasiatkan untuk melaksanakan ibadah korban buat dirinya sebelum beliau meninggal, maka perlu dilaksanakan sekali sahaja, dan bukannya setiap tahun.”

“Apabila mati, maka terputuslah amal seseorang. Tiada lagi amalannya kecuali tiga, iaitu sedekah, ilmu, dan anak soleh mendoakannya”, katanya lagi.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan lain dalam mazhab Maliki yang menyatakan hukumnya makruh sekiranya dilakukan tanpa wasiat daripada si mati kerana dibimbangi timbul isu riak atau bermegah-megah. Manakala, sebahagian ulama Syafi’iyyah pula berpandangan bahawa korban untuk arwah tidak boleh dilakukan melainkan jika si mati pernah meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.

Justeru, umat Islam disarankan untuk memahami perbezaan pandangan ini dengan baik agar ibadah korban yang dilakukan bukan sahaja lahir daripada kasih dan rindu kepada insan tersayang, tetapi juga benar-benar menepati tuntutan syariat.

Baca juga: 5 Aktiviti Bersama Ibu Tercinta Pada Hari Ibu