Boleh ke Lakukan Korban di Luar Negara?
Nurul Atikah Sarji
4/21/2025
Tahun demi tahun, pelaksanaan korban di luar negara semakin menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya melaksanakan ibadah korban di negara miskin yang memerlukan bantuan makanan.
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, pelaksanaan ibadah korban di luar negara adalah dibenarkan dalam Islam kerana tiada dalil yang secara jelas melarang ibadah ini dilakukan selain daripada tempat tinggal sendiri. Ibadah korban sebenarnya boleh dilakukan melalui wakil, iaitu dengan memberi kuasa kepada individu tertentu mahupun agensi untuk mengurus serta melaksanakan ibadah tersebut bagi pihak peserta.
Menurut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membenarkan konsep wakalah (perwakilan) dalam ibadah korban dengan syarat-syarat berikut:
Lafaz wakil mestilah dibuat secara jelas (sarih) atau secara kiasan (kinayah)
Muwakkil (pemberi wakil) perlu memberikan keizinan
Muwakkil mesti melafazkan niat wakil dengan jelas atau kiasan kepada individu yang diberi kuasa untuk melaksanakan ibadah korban itu
Terdapat beberapa sebab mengapa ibadah korban luar negara menjadi pilihan masyarakat di Malaysia pada hari ini. Antaranya adalah, kos korban di luar negara memakan modal yang lebih rendah berbanding di negara sendiri. Ia disebabkan oleh faktor ekonomi dan sumber ternakan.
Secara kesimpulannya, korban yang dilakukan di luar negara bukanlah sesuatu yang salah, terutamanya apabila tujuan ibadah itu sendiri adalah untuk membantu saudara seagama yang lebih memerlukan. Namun, tidak dinafikan, ada juga dalam kalangan umat Islam yang sanggup mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk melaksanakan korban di tempat sendiri untuk menunjukkan pengorbanan dan kesungguhan dalam menghayati ibadah ini. Semuanya bergantung kepada kemampuan individu dalam melaksanakan ibadah korban.
Jom laksanakan ibadah korban bersama ikhlas.com Qurban!