Berapa Nilai Mahar Sebenar dalam Islam?

Marini Mat Zain

2026-04-03

Budaya kita sering memulakan perkahwinan dengan angka iaitu nilai mahar, hantaran, dan kemewahan majlis. Seolah-olah semakin besar angka, semakin tinggi nilai sebuah cinta.

Namun hakikatnya, Islam tidak menilai cinta dengan simbol atau berapa nilai hantaran, tetapi dengan tanggungjawab yang berterusan selepas akad dilafazkan. Juga sejauh mana anda bersedia memikul amanah?

Kerana dalam Islam, cinta yang sebenar bukan yang dipamerkan pada hari persandingan, tetapi yang terus hidup dalam doa, sabar dan kesetiaan terutama saat mengharungi dunia rumah tangga.

Baru-baru ini, perhatian ramai tertumpu kepada perancangan hantaran pertunangan Bella Astillah serta perjalanan perkahwinan Erra Fazira. Dua pendekatan yang berbeza, namun kedua-duanya membuka ruang refleksi bahawa perancangan rapi dalam sebuah perkahwinan bukan sekadar soal majlis, tetapi turut mengajak masyarakat melihat kepentingan persediaan masa depan, sama ada dari sudut kewangan, emosi mahupun tanggungjawab selepas akad.

Sebagai tanda penghargaan dan perancangan masa depan, akaun Tabung Haji telah dibuka atas nama Bella, bersama dua akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk dua anaknya iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6. Inisiatif ini mencerminkan usaha menyimpan untuk ibadah dan pendidikan sebagai jaminan masa depan keluarga walaupun mereka masih diambang pertunangan.

Manakala Erra Fazira pula menerima sepohon pokok emas seberat 102 gram yang dihiasi 24 keping dinar emas, diinspirasikan daripada tradisi masyarakat Melayu abad ke-14. Selain itu, turut diberikan sepersalinan emas serta koleksi tas tangan, kasut dan jam tangan sebagai simbol penghargaan pada hari pernikahan.

2.jpg

Antara hantaran dan hakikat, hantaran sering menjadi simbol usaha dan status. Tetapi dalam Islam, yang lebih utama adalah mahar iaitu pemberian wajib yang membawa makna penghormatan, bukan harga seorang wanita.

Rasulullah SAW bersabda:
أَعْظَمُ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً

“Perkahwinan yang paling besar keberkatannya adalah yang paling mudah urusannya.”
(HR Ahmad)

Dan dalam hadis lain:
خَيْرُ الصَّدَاقِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.”
(HR Abu Dawud)

Pesan ini jelas, Islam tidak pernah menjadikan cinta sebagai beban, tetapi sebagai keberkatan yang dipermudahkan. Perkahwinan bukan acara sehari, tetapi perjalanan seumur hidup. Ia bukan tentang apa yang diberi, tetapi apa yang sanggup dipikul selepas itu.

Kisah Erra Fazira mengingatkan bahawa kemewahan majlis tidak menjamin kekuatan rumah tangga. Manakala perhatian terhadap pertunangan Bella Astillah pula menunjukkan bagaimana masyarakat mudah terpaut pada simbol luar, sedangkan inti sebenar perkahwinan jauh lebih dalam.

Rasulullah SAW menegaskan:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang tanggungjawabnya.” 
(HR Bukhari & Muslim)

Perkahwinan bukan sekadar ‘memiliki’, tetapi memimpin dengan amanah. Namun, buatlah perancangan mengikut kemampuan dan keperluan keluarga. Jangan memaksa diri untuk melakukan hal-hal yang diluar kemampuan. Cinta yang sebenar bukan yang trending di hari perkahwinan, tetapi yang terus hidup dalam doa, sabar, dan tanggungjawab selepas semua sorakan reda.