Bagaimana Pembahagian Daging Korban Dilakukan?

Marini Mat Zain

2026-05-14

Ibadah korban bukan sekadar tentang penyembelihan, tetapi bagaimana kita belajar untuk memberi dengan hati yang ikhlas dan penuh kesedaran.

Bagi korban sunat, pembahagian dagingnya dianjurkan dengan cara yang penuh hikmah, sebahagiannya untuk dikongsi bersama mereka yang memerlukan, dan sebahagian lagi untuk dinikmati sendiri sebagai tanda syukur atas nikmat Allah SWT.

Pembahagian ini bukan sekadar angka, tetapi lambang keseimbangan antara memberi dan mensyukuri. Ia mengajar kita bahawa dalam rezeki yang kita miliki, ada hak orang lain yang perlu diraikan.

Pembahagian Daging Qurban-02.jpg.jpeg

Namun bagi korban wajib atau korban nazar, daging tersebut tidak lagi menjadi milik peribadi. Ia perlu diagihkan sepenuhnya kepada golongan yang berhak menerima, sebagai tanda ketaatan dan kesungguhan memenuhi janji kepada Allah SWT.

Lebih daripada itu, ibadah korban turut meninggalkan satu teladan yang sangat indah daripada Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Jabir RA, ketika Baginda SAW melaksanakan ibadah korban, Baginda menyembelih puluhan ekor unta dan mengagihkannya kepada ramai orang. Setiap bahagian dikongsi, dimasak, dan dinikmati bersama.

“Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Bin Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.”

(Riwayat Muslim: 1218)

Dalam setiap titisan air kuah dan setiap potongan daging yang diagihkan, tersimpan makna yang lebih besar, bahawa korban adalah tentang pengorbanan, keikhlasan, dan kasih sayang sesama manusia.