Apakah Hukum Puasa Tapi Tidak Solat?
Ayu Nadirah
2/14/2024

Sebagai seorang Muslim, kita meyakini bahawa solat itu adalah kewajipan yang sangat dituntut dalam Islam. Solat adalah tiang agama. Melangkah masuk ke bulan Ramadan penuh mulia, ada segelintir umat Islam yang melaksanakan ibadah puasa tanpa 'ponteng', tetapi yang menyedihkan adalah kewajipan solat dipandang ringan. Puasa tetapi tetap meninggalkan solat. Apakah hukumnya? Adakah sah puasa seseorang yang tidak solat? Adakah puasanya diterima jika dia meninggalkan solat?
Di sini, para ulama mempunyai dua pendapat iaitu:
Pendapat pertama daripada Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama masa kini yang menyatakan orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasanya. Dia perlu bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.
Pendapat kedua daripada kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr Ahmad Syarbashi, Dr Muhammed al-Bakri Ismail dan lain-lain pula menyatakan seseorang yang tidak solat tetapi berpuasa, puasa dia dianggap sah tetapi tidak diberi pahala. Hal ini kerana terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

Selain itu, ingatlah bahawa perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang di hari akhirat adalah solatnya. Jika baik solatnya, maka dia adalah antara orang yang berjaya di akhirat kelak.

Menunaikan solat tidak termasuk dalam syarat sah puasa. Namun, sebagai umat Islam, solat adalah wajib untuk dilaksanakan. Biarpun terdapat perbezaan pendapat mengenai isu ini, kebanyakan ulama lebih cenderung kepada pendapat kedua yang mengatakan puasa tetap sah tetapi tidak beroleh pahala. Perbuatan meninggalkan solat itu tetap dikira sebagai dosa besar walaupun seseorang itu berpuasa. Hal ini kerana dia telah menafikan rukun Islam yang wajib diipatuhi iaitu solat lima waktu.
Setiap ibadat wajib telah Allah tetapkan rukun dan syarat yang tertentu. Jadi, setiap rukun dan syarat tersebut tidak terikat dengan pelaksanaan ibadat yang lain. Sesiapa yang melaksanakan puasa dengan mengikuti setiap rukun dan syarat yang ditetapkan, maka puasanya sah walaupun dia tidak menunaikan solat. Sebabnya, tidak disyaratkan seseorang untuk melaksanakan solat untuk menjadikan puasanya sah. Namun, dia dikira berdosa besar kerana telah meninggalkan solat fardu. Dia wajib segera bertaubat dan mengqada solat fardu yang sengaja ditinggalkan.
Kesimpulannya, laksanakanlah setiap ibadat wajib dengan sempurna. Jika anda meninggalkan solat ketika berpuasa di bulan Ramadan, puasa anda tidak terbatal tetapi ibadat puasa itu dikira sia-sia dan tidak bermanfaat buat diri anda.