Apakah Hukum Merenjis Kenderaan Baru dengan Air Ruqyah?
Ayu Nadirah
5/3/2024
Baru-baru ini semua dikejutkan dengan satu video yang menampakkan seorang ulama merenjis air pada kereta baru seseorang. Video berkenaan telah mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan yang menuju ke arah perkara khurafat kerana tidak pernah dilakukan Rasulullah SAW. Namun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan bahawa perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah dibenarkan dan hukumnya harus menurut syarak.
Merenjis Air pada Benda Dibenarkan Syarak
Menurut pejabat mufti, perbuatan sedemikian bukanlah perkara khurafat. Ia dibenarkan syarak, namun perlulah dengan niat untuk menjaga sesuatu barang daripada penyakit ain dan musibah lain yang boleh terjadi. Sebahagian ulama juga menegaskan bahawa penyakit ain bukan sahaja boleh terkena kepada manusia, malah ia boleh menimpa haiwan dan benda tidak bernyawa seperti batu, rumah, kenderaan dan sebagainya.
Berdoa dan membaca ruqyah adalah kebiasaan yang dilakukan untuk melindungi diri daripada penyakit ain. Selain itu, boleh juga berikhtiar dengan mandi atau membilas air berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: "Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi."
Begitu juga diharuskan merenjis air yang telah dibaca zikir dan wirid kepada benda yang tidak bernyawa yang menjadi milik anda. Ia bukanlah perkara yang haram untuk dilakukan. Menurut pejabat mufti juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak semestinya ia diharamkan oleh syarak. Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan, biarpun Nabi SAW dan para sahabat tidak melakukannya. Perbahasan ini disebut sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan. Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik, sudah tentu baginda dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya (لو كان خيرًا لسبقونا إليه), sedangkan perkara itu tidak benar.
وكذا يشرع قراءة بعض الأذكار والأوراد والتعوذات في ماء ثم يرش به المنزل الذي يتواجد فيه الجن والشياطين ؛ فإنه يبعدهم بإذن الله تعالى. والله الشافي
Maksudnya: "Begitu juga, diharuskan membaca beberapa zikir, wirid dan ta’awwudz pada air kemudian direnjiskan pada rumah yang terdapat jin dan syaitan. Cara ini akan menjauhkan mereka daripada tempat tersebut dengan izin Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Memberi Kesembuhan." (Rujuk Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa)
Kesimpulannya, perbuatan merenjis air ruqyah kepada kereta atau apa-apa benda milik seseorang adalah diharuskan dalam Islam. Ia adalah suatu cara atau ikhtiar untuk melindungi benda itu daripada perkara yang tidak diingini.