Adakah Berdosa Melintasi Orang Yang Sedang Solat?
Hanan Latip
2025-12-01
Anda pernah melintas depan jemaah sedang solat? Adakah anda tahu yang perbuatan ini dibolehkan ataupun dilarang dalam Islam sama sekali?
Suasana di kota Makkah dan Madinah sentiasa hiruk-pikuk dengan pergerakan dan aktiviti jemaah dari seluruh dunia. Pada ketika itu, kita hampir tidak dapat mengelak daripada melintasi jemaah yang solat, sedangkan kita pula perlu beredar daripada kawasan tersebut.
Bagi menjawab persoalan ini, mari fahamkan terlebih dahulu makna sutrah.
Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/392-393): Antara perkara sunat dilakukan sebelum solat adalah menjadikan sesuatu sebagai sutrah atau sekatan di hadapannya. Sutrah ialah sekatan (سُترَةٌ) yang boleh dijadikan tanda pemisah di antara orang yang sedang solat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya. Contohnya adalah seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak ada sebarang barang, buatlah tanda garisan sahaja.
Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya, manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir," Hadis Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501).

Bagi menjawab persoalan di atas, jika individu tersebut telah meletakkan sutrah seperti apa-apa barang yang dimiliki seperti beg, rehal, jam tangan, sejadah dan sebagainya, anda boleh lalu di hadapan orang berkenaan.
Namun, jika individu tersebut tidak meletakkan sutrah dan anda masih lagi lalu di hadapan kawasan solat/kawasan sujud, berdosa besar dan haram hukumnya bagi sesiapa yang melakukannya!
Bagaimana pula garisan saf yang terdapat pada kawasan solat dalam masjid dan surau? Adakah ia dikira sebagai sutrah?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, seperti yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/392-393) dan berdasarkan Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501), sutrah ialah tanda pemisah di antara orang bersolat dengan orang lalu lalang di hadapannya seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa, hendaklah dia buat tanda garisan sahaja.
Maka, dari sini kita dapat fahami bahawa garisan saf juga boleh dianggap sebagai sutrah, kerana ia menjadi tanda pemisah antara ruang solat seseorang dengan laluan di hadapannya. Justeru, sesiapa yang melintas di luar garisan saf tersebut tidak termasuk dalam larangan melintas di kawasan sujud. Jika hendak melintas di hadapan, pastikan berjalan di depan sutrah atau jarak tiga hasta dari tempat orang berdiri solat.
Namun begitu, adab dan etika dalam masjid tetap perlu dijaga. Walaupun hukum melintas di luar kawasan sutrah adalah dibenarkan, kita digalakkan untuk:
- Mengelak melintas terlalu dekat dengan jemaah yang sedang solat.
- Mencari laluan alternatif jika keadaan sesak untuk mengelakkan gangguan.
- Menggunakan ruang kosong di belakang saf atau sisi masjid.
- Mengutamakan ketenangan jemaah yang sedang beribadah.
Prinsip asasnya mudah:
Jika seseorang itu meletakkan sutrah dan kita melintas di luar batasan tersebut, maka tidak mengapa. Tetapi jika tiada sutrah dan kita melintas di ruang sujudnya, hukumnya haram dan termasuk dosa besar.
Melintas di hadapan orang yang sedang solat bukan sekadar isu adab, tetapi turut melibatkan aspek hukum yang telah dijelaskan oleh para ulama berdasarkan dalil sahih. Sutrah berperanan penting untuk menjaga fokus, ketertiban, dan kehormatan ibadah seseorang. Maka, sebagai jemaah, kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menghormati ruang solat orang lain, dan sebagai individu yang sedang solat pula, kita digalakkan untuk menggunakan sutrah bagi mengelakkan gangguan.
Semoga penjelasan ini membuka kefahaman kita tentang adab dan hukum melintas di hadapan orang yang sedang solat, serta menjadikan kita lebih berhati-hati dan beradab ketika berada di rumah Allah.