5 Peristiwa Yang Berlaku di Bulan Ramadan
2/26/2024

Bulan Ramadan ialah bulan yang istimewa bagi seluruh umat Islam. Di bulan ini jugalah, ada beberapa peristiwa istimewa telah berlaku. Semoga ini akan menjadi inspirasi dan pengajaran kepada seluruh umat Islam sepanjang zaman.
Ada 5 peristiwa penting yang telah berlaku. Antaranya:
1. Perang Badar
Umum ketahui, perang Badar berlaku pada tahun ke-2 Hijrah iaitu pada 17 Mac 624 Masihi atau 17 Ramadan. Perang Badar ini berlaku tanpa dirancang. Hanya dengan kekuatan tentera Islam berjumlah 313 orang, mereka berjaya menentang tentera musuh yang jauh lebih ramai iaitu kira-kira melebihi 900 orang.
Pada musim salji 624 M, Nabi Muhammad SAW menerima khabar bahawa kafilah dagangan yang diketuai Abu Sufyan dan dikawal oleh 30-40 orang, telah bertolak dari Syria kembali ke Mekah. Rasulullah dan 313 tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy.
Abu Sufian yang terselamat dari sekatan orang Islam telah mengutuskan utusan kepada Quraisy untuk keluar melindungi kafilahnya. Oleh itulah, orang Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera. Antaranya 600 orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai. Ini tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta. Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam.
Dengan bantuan Allah SWT, tentera Islam dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah melebihi 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Sedikit sebanyak, kemenangan ini memberikan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan Rasulullah SAW.
2. Pembukaan Kota Mekah
Pembukaan kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah adalah kesan daripada pencabulan Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan kaum Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah.
Di dalam perjanjian Hudaibiyah ini, orang musyrikin Mekah telah melanggar perjanjian. Antara kandungan perjanjian itu ialah setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak juga tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.
Hal ini terjadi disebabkan dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Bani Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad SAW. Pada suatu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir.
Kemudian, berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW dan baginda mengerahkan ratusan ribu umat Islam menuju ke Makkah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Baginda juga menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy dan mereka mengetahui mengenai kemaraan umat Islam apabila telah menghampiri Kota Mekah. Akhirnya umat Islam dapat memasuki kota Makkah tanpa sebarang pertumpahan darah.
Manfaat dan kelebihan berlaku di atas pembukaan kota Mekah:
Pengiktirafan kepada Rasulullah dan negara Islam di Madinah.
Umat Islam dapat menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan haji.
Membebaskan Mekah daripada Musyrikin Qurasiy.
Orang kafir mula memeluk Islam secara terang-terangan tanpa risau akan dihukum.
Masyarakat dapat hidup dengan aman dan damai.
Agama Islam dapat tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab.
3. Semua berhala telah diruntuhkan di Kaabah dan Kota Mekah
Penghancuran berhala ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW bersama dengan para-para sahabat Baginda SAW pada 20 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. Ia berlaku setelah umat Islam memperoleh kemenangan yang besar iaitu pembukaan Kota Mekah.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Yusuf RA bahawa Ibn ‘Abbas RA berkata kepadanya:

Selepas Rasulullah SAW berjaya membuka dan mengiktiraf kota Mekah, Baginda SAW meneruskan usaha untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah SWT.
Berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah telah dihancurkan. Jumlah berhala yang ada di sekitar Kaabah itu dianggarkan lebih kurang 360 buah.
Selepas itu, Rasulullah SAW bersolat di dalam Kaabah dan kemudiannya memberi ucapan kepada kaum Quraisy. Kunci Kaabah juga dikembalikan semula kepada penjaganya.
4. Islam Berjaya Menguasai Andalusia
Tahukah anda siapa yang menjadi pencetus keberadaan agama Islam di Eropah? Nama yang tidak asing lagi iaitu Tariq bin Ziyad yang berjaya menguasai Kota Andalusia pada tahun 91 Hijrah. Peristiwa ini berlaku di zaman Bani Umayyah. Pada ketika itu, Panglima Tentera Islam, Tariq bin Ziyad telah mendarat di Gibraltar dengan tentera Islam. Penaklukan ini berjaya diteruskan sehingga ke utara dan berjaya menawan Cordoba pada tahun yang sama.
Rodheric pula menghantar 100,000 tentera berkuda dan bertembung dengan tentera Islam di Rio Barbate pada 28 Ramadan 92 Hijrah sehinggalah 5 Syawal dan pertempuran ini berlaku selama 8 hari. Jasa dan kepimpinan Tariq disematkan melalui nama sebuah selat iaitu, Selat Gibraltar, yang memisahkan Maghribi dan Sepanyol. Gibraltar dalam bahasa Sepanyol memberi makna ‘Jabal Thariq’ dalam bahasa Arab ataupun dikenali ‘Bukit Thariq’.
Dengan pembukaan Bosnia oleh tentera Islam pada 13 Ramadan 791 Hijrah, Islam telah kuasai Eropah Timur. Semua ini bermula apabila Sultan Murad I bersama dua puteranya, Bezayid dan Yaakob dengan 40,000 tentera berhadapan dengan tentera gabungan Serbia dan Bulgaria yang dibantu oleh tentera Bosnia, Falakh, Albania, Herzegovina dan Poland yang berjumlah 30,000 orang di dalam Perang Serbia.
Perperangan ini telah membolehkan Daulah Othmaniyah menguasai wilayah Balkan iaitu negara-negara Bosnia, Herzegovina dan Kosovo pada waktu itu setelah panglima perang Kristian, Lazar telah berjaya dibunuh. Namun begitu, Sultan Murad I telah ditikam oleh seorang tentera Kristian yang berada dalam gelimpangan mayat tentera yang terbunuh. Selepas syahidnya Sultan Murad I, usaha meluaskan pengaruh Islam di timur Eropah ini diteruskan oleh Sultan Yildirim Beyazid.
Seperti yang kita telah baca, banyak peristiwa besar yang telah berlaku dan sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berperang demi menegakkan syiar Islam.
Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat dinantikan dan hendaklah diisi dengan penuh semangat dan akan menangisi pemergiannya. Semoga kisah-kisah ini dapat difahami dan menjadi sumber inspirasi untuk umat Islam pada zaman kini mengisi dengan amal kebaikan.