5 Had Perlu Diketahuai: Hubungan Sensual Suami Isteri dalam Ramadan
Marini Mat Zain
2026-02-25
Bulan Ramadan hadir seperti bulan yang membawa cahaya, menenangkan hati, dan mengajar kita erti kesabaran. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu dan menjaga setiap langkah agar ibadah kita diterima Allah SWT.
Bagi pasangan suami isteri, Ramadan adalah masa yang tepat untuk memperkukuh kasih sayang bukan melalui sentuhan jasmani, tetapi melalui kehangatan doa, perhatian, dan akhlak yang mulia.
Namun, ada beberapa had hubungan suami isteri yang perlu dijaga sepanjang siang Ramadan agar puasa tetap sah dan diberkati.

1. Hubungan Seksual Sepanjang Waktu Puasa
Sepanjang siang, dari fajar hingga maghrib, suami isteri dilarang melakukan hubungan seksual. Ibarat menahan diri daripada minum air di tengah padang pasir, menahan diri dari perbuatan yang membatalkan puasa adalah ujian kesabaran dan penghayatan iman. Puasa bukan hanya soal perut, tetapi soal hati dan rohani juga.
Tip Ramadan Suami Isteri: Berzikir dan membaca al-Quran bersama. Gunakan waktu petang untuk sama-sama mengaji atau berzikir. Kasih sayang yang dibina dari ilmu dan doa lebih abadi.
2. Berjimak Sebelum Berbuka
Sesaat sebelum azan Maghrib, jangan biarkan diri tergoda untuk melakukan persetubuhan. Walaupun mungkin terasa singkat, ia tetap membatalkan puasa. Bayangkan seakan menyiram bunga yang baru tumbuh dengan air masin, niat baik untuk berpuasa menjadi terhapus sekelip mata.
Tip Ramadan Suami Isteri: Solat berjemaah. Bangunlah untuk solat berjemaah di masjid jikalau berdua di rumah hanya mendatangkan rasa keinginan sensual tanpa boleh elak. Ini membina kekuatan rohani bersama.
3. Sentuhan dan Ciuman Yang Menimbulkan Syahwat
Bukan bermaksud menjarakkan kasih sayang, tetapi sepanjang siang, elakkan sentuhan yang boleh menimbulkan syahwat seperti bercium atau mengusap. Gunakan waktu ini untuk mempererat hati dengan kata-kata manis, doa, senyuman, dan perhatian. Kasih sayang itu lebih kekal bila dihiasi kesabaran.
Tip Ramadan Suami Isteri: Berbual dan berdoa bersama. Gantikan sentuhan fizikal dengan komunikasi yang hangat dan doa bersama.
4. Hubungan Seksual Dengan Niat Membatalkan Puasa
Jika sengaja berjimak dengan mengetahui puasa akan batal, maka puasa itu tidak sah dan wajib diganti. Ia mengingatkan kita bahawa setiap perbuatan ada timbangannya di sisi Allah. Seperti menulis di atas air, niat yang salah menghapuskan pahala.
Tip Ramadan Suami Isteri: Salurkan kasih sayang melalui perhatian dan bantuan. Ringankan tugas harian pasangan, bantu urusan rumah atau sediakan hidangan berbuka. Tindakan kecil ini membawa kasih yang lebih mendalam daripada sentuhan fizikal semata-mata.
5. Elakkan Situasi Yang Boleh Menguji Nafsu
Sepanjang siang, suami isteri perlu bijak menjaga diri daripada situasi atau percakapan yang boleh membangkitkan nafsu. Gunakan Ramadan untuk memupuk kesabaran, menundukkan pandangan, dan menguatkan kendalian emosi. Kasih sayang boleh terus mekar melalui kata-kata manis, sokongan, dan perhatian, tanpa perlu sentuhan fizikal.
Tip Ramadan Suami Isteri: Hantar kata manis atau pesan motivasi. Jika terpisah kerana kerja, mesej motivasi atau doa ringkas dapat memelihara kasih sayang dan rasa rindu.
Ramadan mengajar kita bahawa kasih sayang tidak hanya diukur melalui sentuhan, tetapi juga melalui sabar, perhatian, doa dan perkongsian hati. Bila hati dan niat dijaga, cinta suami isteri akan bertambah manis, meski menahan diri sepanjang siang.