13 Rukun Solat & Rukun Qauli Supaya Solat Sah

Ayu Nadirah

4/24/2024

Ambil_Tahu_13_Rukun_Solat_&_Rukun_Qauli_Supaya_Solat_Sah.png

Ibadah solat adalah salah satu tetapan dalam rukun Islam dan menjadi kewajipan terbesar buat seorang Muslim. Solat yang menjadi tiang agama mestilah dilakukan dengan pengetahuan lengkap tentang tuntutan solat itu sendiri yang terdiri daripada hukum dan rukun yang perlu diikuti.

Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT dalam Islam? Nabi SAW bersabda: "Solat pada waktunya, barang siapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama,” Riwayat al-Baihaqi (2550) dalam al-Syu’ab.

Rukun Solat untuk Kesempurnaan Ibadah

Berikut adalah panduan lengkap 13 rukun solat yang mesti diikuti dengan sempurna agar dapat memberi keyakinan kepada kita bahawa solat itu sah dan diterima Allah SWT.

  • Rukun pertama: Niat solat fardu.

  • Rukun kedua: Qiyam atau berdiri betul. Melihat ke arah tempat sujud dan menghadapkan jari-jari kaki ke arah kiblat.

Apabila kamu sedang solat, maka jangan kamu berpaling ke kanan dan ke kiri, kerana sesungguhnya Allah menghadapkan wajahNya dalam solat, selama mana hambanya tidak berpaling,” Hadis riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim.

  • Rukun ketiga: Takbiratul ihram. Mengangkat kedua-dua tangan dan mengucapkan takbiratul ihram dengan lafaz pada mulut yang didengar telinga. Setelah itu, tangan kanan memegang tangan kiri dan meletakkan keduanya di bawah dada dan di atas pusat. Diikuti dengan membaca doa iftitah.

Ucapkan takbir setiap kali mengubah gerakan solat. Terdapat empat takbir yang perlu diangkat kedua-dua belah tangan iaitu pada takbiratul ikhram, takbir ketika hendak rukuk, takbir ketika bangun daripada rukuk dan takbir ketika bangun daripada tahiyat awal. 

  • Rukun keempat: Membaca surah Al-Fatihah dan berta’min iaitu mengucapkan amin. Bacaan surah al-Fatihah perlu dilafazkan pada mulut sehingga terdengar pada telinga sendiri. Tidak sah solat jika dibaca dalam hati. Setelah itu, membaca surah atau ayat al-Quran selepas membaca surah al-Fatihah pada rakaat pertama dan kedua.

Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca al-Fatihah,” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

  • Rukun kelima: Rukuk berserta thoma’ninah. Membaca tasbih sebanyak tiga kali ketika rukuk iaitu “Subhana rabbiyal azhimi wa bihamdih.” Angkat kedua-dua tangan ketika hendak rukuk, bangkit daripada rukuk dan ketika berdiri selepas tahiyat awal (sunat hai’ah). 

  • Rukun keenam: I’tidal berserta thoma’ninah. Membaca “Sami’ allahu liman hamidah” ketika mengangkat kepala daripada rukuk, diikuti dengan membaca “Rabbana lakal hamd” ketika sedang berdiri betul (sunat hai’ah).

  • Rukun ketujuh: Sujud berserta thoma’ninah. Menghadapkan anak-anak jari tangan ke arah kiblat ketika sujud dan membaca tasbih sebanyak tiga kali iaitu “Subhana rabbiyal a’la wa bihamdih.” Ketika hendak sujud, turunkan dahulu kedua-dua lutut, diikuti dengan dua tapak tangan, kemudian dahi dan hidung. Bagi lelaki, sunat merenggangkan kedua-dua lutut dan tapak tangan ketika sujud.

  • Rukun kelapan: Duduk antara dua sujud berserta thoma’ninah dan membaca “Rabbighfirli warhamni wajburni warfa'kni warzuqni wahdini wa'afini wa'fu 'anni.” Duduk iftirasy pada semua duduk kecuali ketika duduk tahiyat akhir. 

  • Rukun kesembilan: Duduk membaca tahiyat akhir. Meletakkan tangan di atas paha ketika duduk tahiyat awal dan akhir, dengan meluruskan kesemua jari dan hujungnya selari dengan kepala lutut. Genggamkan jari tangan kanan, kecuali jari telunjuk, yang mana ia diangkat sebagai isyarat ketika mengucapkan “illallah” dan pandangan mata ditujukan kepada hujung telunjuk selepas diangkat sehingga salam. Duduk tawarruk pada tahiyat akhir, di mana duduk sebelah punggung dengan menghulurkan kaki kiri ke bawah betis kaki kanan.

  • Rukun kesepuluh: Membaca tahiyat akhir dengan sebutan harus dilafaz dan didengar telinga sendiri. 

  • Rukun kesebelas: Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika tahiyat akhir, juga membaca selawat Ibrahimiyah dalam tahiyat akhir. 

  • Rukun kedua belas: Memberi salam ke kanan dan kiri dengan lafaz harus didengar telinga sendiri.

  • Rukun ketiga belas: Tertib
Hadis_solat.png

Rukun Qauli dalam Solat

Bacaan yang wajib dalam solat iaitu takbiratul ihram, surah al-Fatihah, tahiyat akhir dan salam dikategorikan sebagai rukun qauli. Ketika mendirikan solat, disyaratkan untuk melafazkan setiap rukun qauli dengan suara yang dapat didengar diri sendiri jika keadaan pendengaran adalah baik dan tidak berada dalam suasana bising. Tidak sah bacaan rukun qauli jika hanya dibaca dalam hati dan tidak dilafazkan sehingga boleh didengar telinga sendiri. Hal ini dapat menjejaskan solat, di mana solat menjadi tidak sah akibat bacaan rukun qauli yang tidak sah.

Jangan sesekali memandang ringan soal bacaan wajib dalam solat. Anda semua mahu solat yang diakukan setiap hari itu sempurna dan diterima Allah SWT, bukan?

BACA:

5 Sifat dalam Memilih Kawan Menurut Islam

[Kopi Bersama IKHLAS Episod 7] Selamatkan Bayi, Bukan Buang Bayi di Tong Sampah

Pentingnya Pasangan Sekufu dalam Membina Rumah Tangga Bahagia