10 Perkara Yang Membatalkan Puasa

2/13/2024

Setiap umat Islam harus cakna dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa bagi mengelakkan kita berpuasa dalam keadaan yang sia-sia dan terus jahil mengenai hukum-hakam yang telah ditetapkan. 

Berikut merupakan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

1. Memasukkan Sesuatu ke dalam Rongga Badan dengan Sengaja

Puasa akan terbatal jika anda memasukkan sesuatu sama ada makanan atau bukan makanan ke dalam rongga badan dengan sengaja. Tidak kiralah sedikit atau banyak, perbuatan ini akan membatalkan puasa anda dengan terus.

Namun, jika anda terlupa atau tidak sengaja, puasa anda tidak terbatal dan anda boleh terus berpuasa sehingga waktu berbuka. 

2. Memasukkan Sesuatu Melalui Dua Jalan (qubul dan dubur).

Memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur juga akan membuatkan puasa anda terbatal.  

3. Memuntahkan Makanan dengan Sengaja.

Muntah dengan sengaja akan membatalkan puasa. Namun, bagi individu yang mengalami mual dan kemudiannya muntah, ia tidak membatalkan puasa.

Jika muntah tersebut terdapat sisa yang tertinggal di dalam mulut dan kemudiannya ditelan kembali dengan sengaja dan maka puasanya itu akan terbatal dan wajib digantikannya. 

4. Berjimak (bersetubuh)

Bersetubuh pada siang hari dengan sengaja akan dikenakan kaffarah secara tertib.

Kaffarah hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan tidak dikenakan terhadap Isteri. Ini seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya:

“Wajib seseorang suami membayar kaffarah. Dan tidak dikenakan ke atas perempuan walaupun ia berpuasa. Ini kerana hak yang membayar kaffarah jimak dikhususkan ke atas lelaki bukan perempuan seperti mahar. Kerana perbuatan menyetubuhi disandarkan kepada lelaki, maka wajib ke atasnya kaffarah. Oleh itu, perempuan hanya wajib mengqada puasanya sahaja.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/204)

5. Mengeluarkan Mani dengan Sengaja

Mengeluarkan air mani dengan sengaja akan menyebabkan puasa terbatal. Puasa tidak akan terbatal jika air mani keluar akibat kita bermimpi ketika tidur pada siang hari. 

6. Gila

Orang gila tidak diwajibkan langsung untuk berpuasa kerana puasa hanya wajib bagi yang sempurna akalnya. 

Diriwayatkan oleh Sunan Abi Daud, Ali RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Perkara_Membatalkan_Puasa_Gila.png

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang hilang akalnya maka telah hilang kewajipan berpuasa baginya. 

Bagi mereka yang gila dalam tempoh yang singkat, Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarawani menyebutkan bahawa:

Perkara_Membatalkan_Puasa_Gila_2.png

Maka, bagi mereka yang gila dalam tempoh yang singkat di bulan Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan adalah batal kerana telah terangkat kewajipan berpuasa darinya pada masa dia gila disebabkan hilangnya akal. 

7. Murtad atau Terkeluar daripada Islam sama ada dengan Perkataan, Perbuatan atau Keyakinan 

Individu yang murtad telah terbatal puasanya kerana puasa hanya wajib ke atas setiap orang Islam.

Jika seorang muslim murtad daripada Islam dan kemudiannya bertaubat, maka dia tidak perlu qada' sembahyang dan puasa yang ditinggalkannya berdasarkan firman Allah SWT:

Perkara_Membatalkan_Puasa_Murtad.png

8. Pengsan Sepanjang Hari Ketika Berpuasa

Situasi mengenai pengsan dibahagikan mengikut 2 situasi:

Situasi 1: Dibius dan Pengsan Setengah Hari

Bagi mereka yang telah berniat puasa di malam hari, kemudian pengsan pada sebahagian hari waktu berpuasa, maka puasanya sah sekiranya dia tersedar sejurus pada siang harinya. 

Inilah juga seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’, dan ini adalah pendapat yang paling asah (sahih).

Situasi 2: Dibius dan Pengsan pada Keseluruhan Hari Puasa

Orang yang dibius dan pengsan bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelamnya matahari, dan dia tidak sedar sepanjang tempoh tersebut, maka ulama’ al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah menyatakan bahawa puasa tersebut tidak sah, kerana puasa itu adalah imsak (menahan diri) berserta niat. 

Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

Perkara_Membatalkan_Puasa_Pengsan_sepanjang_hari.png

Berdasarkan hadith di atas, orang pengsan itu tidak melakukan imsak (menahan diri) kerana mereka tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Justeru, bagi orang yang pengsan di sepanjang hari berpuasa, maka hukumnya adalah dia dikira sebagai tidak berpuasa dan dia wajib menggantikannya semula.

Perkara Membatalkan Puasa bagi Wanita 

1. Keluar Darah Haid 

Umum diketahui, wanita yang telah keluar haidnya semasa Ramadan akan menyebabkan puasa mereka terbatal. Mereka diharamkan berpuasa atas sebab-sebab kesihatan seperti mudah sakit di bahagian perut dan mengeluarkan darah yang banyak. 

Oleh itu, mereka perlu menggantikan puasa di lain hari mengikut jumlah yang ditinggalkan. 

2. Keluar Darah Nifas

Keluar darah nifas ini akan kalangan wanita yang selepas melahirkan anak. Wanita yang keluar darah nifas diharamkan untuk berpuasa. Mereka juga perlu menggantikan puasa mengikut jumlah puasa yang ditinggalkan. 

Di sini juga kami kongsikan rawatan-rawatan yang akan membuatkan puasa anda terbatal. Ambil perhatian ya!

Rawatan Yang Membatalkan Puasa

  1. Pengambilan ubat jenis biji dan ubat minum.

  2. Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit paru-paru kronik.

  3. Memasukkan sebarang tiub kecil atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

  4. Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.

  5. Penggunaan alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan.

  6. Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.

  7. Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.

Semoga semua umat Islam akan lebih cakna dan ambil berat dengan perkongsian mengenai perkara yang membatalkan puasa kerana puasa yang dilakukan merupakan satu ibadah. Maka, kita hendaklah mengikut apa yang ditetapkan agar ibadah ini diterima oleh Allah Taala.

Ketahui juga, [Temu Bual Istimewa] All Eyes on Rafah: Pendirian Tegar Ramona Zamzam dan Suami Asal Palestin