10 Cara Betul Mandi Wajib Mengikut Sunah
Ayu Nadirah
9/3/2024
Hukum mandi setelah keluar air mani, habis haid, nifas atau wiladah adalah wajib ke atas orang Muslim untuk membersihkan diri daripada hadas besar. Langkah mandi wajib ini menjadi permulaan paling penting kepada kesempurnaan setiap ibadah yang ingin dilakukan. Mandi wajib yang tidak sempurna akan menjejaskan kualiti ibadah yang anda lakukan setiap hari, terutamanya solat. Adakah betul dan sempurna mandi wajib anda selama ini? Singkir keraguan dengan mengikuti langkah demi langkah mandi hadas besar yang kami kongsikan di sini.
Tertib Mandi Wajib yang Betul
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan garis panduan untuk mandi wajib yang sempurna yang pernah ditunjukkan Nabi Muhammad SAW. Berikut adalah panduan lengkap mandi wajib yang boleh digunakan oleh wanita mahupun lelaki. Panduan daripada Jakim telah kami lengkapkan lagi dengan penyampaian Dr Zaharuddin Abd Rahman, pendakwah juga Ketua Eksekutif Elzar Shariah Solutions & Advisory Sdn Bhd, yang boleh anda ambil sebagai rujukan padat untuk cara mandi wajib yang betul dan tidak diragui.
Perkara pertama yang perlu anda ambil tahu adalah mandi ini mesti dikerjakan dengan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan. la kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikan Allah. Boleh saja menggunakan air mutlak daripada paip, pancuran air, kolah atau perigi sekalipun, asalkan sumbernya adalah air mutlak.
Mulakan niat ketika air sampai atau menyentuh bahagian tubuh pertama semasa mandi. Niat mandi wajib tidak perlu dilafaz. Cukup sekadar menyatakannya di dalam hati. Niat mandi wajib yang umum (keluar air mani, haid dan nifas): "Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala." Sementara niat mandi hadas haid: "Aku berniat mandi untuk menghilangkan hadas haid kerana Allah Taala."
Membaca bismillah.
Mencuci kedua-dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali.
Mencuci kemaluan menggunakan tangan kiri.
Membersihkan tangan sekali lagi dengan sabun.
Berwuduk sempurna seperti biasa.
Membasuh kepala dengan mengusap rata seluruh rambut, kemudian menyiramnya dengan tiga kali curahan air menggunakan kedua-dua tangan. Langkah ini adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah RA dalam Sahih al-Bukhari laitu: "Kemudian Baginda SAW memasukkan jarinya ke dalam air, lalu mengusap rambut, kemudian menyiram kepala tiga kali dengan kedua-dua tangannya." Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulakan dengan bahagian kanan, diikuti dengan bahagian kiri. Hal ini berlandaskan hadis Aisyah RA yang bermaksud: "Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri." Bagi kaum wanita yang ingin mandi haid atau junub, perlulah melepaskan ikatan rambut. Hal ini berdasarkan hadis Aisyah RA dalam Sahih al-Bukhari, di mana beliau datang haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata: "Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu."
Memulakan basuhan (alirkan air) daripada kepala hingga ke kaki dengan mendahulukan bahagian kanan tubuh, diikuti dengan bahagian kiri tubuh. Menurut Aisyah RA: "Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci," Sahih Muslim. Hanya perlu mengalirkan air ke seluruh tubuh sebanyak satu kali, namun jika ada kemudahan air yang lebih, diharuskan untuk melakukannya sehingga tiga kali (hukumnya sunat). Tetapi makruh hukumnya jika melebihi tiga kali basuhan kerana dikira sudah membazirkan air.
Meratakan air ke seluruh tubuh dan sunat hukumnya untuk menggosok lembut seluruh tubuh. Diharuskan untuk menggunakan wangian (sabun) semasa mandi.
- Berwuduk jika hendak mengerjakan solat kemudiannya (jika wuduk awal tadi sudah terbatal kerana menyentuh kemaluan semasa mandi).
Antara perkara sunat lain yang digalakkan ketika mandi wajib adalah:
Menghadap kiblat ketika mandi, tetapi aurat mestilah ditutup dengan memakai kain basahan.
Meninggalkan bercakap-cakap sepanjang waktu mandi.
Bolehkah Melewatkan Mandi Wajib?
Mandi wajib boleh ditunda dari malam ke siang. Jadi untuk pasangan suami isteri yang berjimak pada waktu malam, boleh melewatkan mandi wajib sehingga tibanya pagi iaitu sebelum menunaikan solat subuh. Sunat untuk berwuduk sebelum tidur jika ingin menangguh mandi wajib kepada pagi.
Bagi mereka yang melewatkan mandi wajib ketika Ramadan, perkara tersebut tidak membatalkan puasanya. Boleh terus berpuasa dan puasanya tetap sah, selagi tidak melakukan perkara lain yang boleh membatalkan puasa. Tetapi harus diingatkan, secara hukumnya, anda perlulah menyegerakan mandi wajib kerana perlu menunaikan kewajipan fardu iaitu solat. Anda boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu, segeralah mandi wajib untuk menunaikan solat dengan sempurna.