10 Adab Makan Menurut Rasulullah SAW: Cara Sederhana dan Berkat

Marini Mat Zain

2026-02-18

Islam bukan sahaja mengajar apa yang kita makan dan minum, tetapi juga bagaimana adab sebelum dan selepasnya. Setiap adab dan etika yang diajarkan oleh Rasulullah SAW menjadikan makan sebagai ibadah yang membawa keberkatan, bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani.

Jumlah makanan juga ditegaskan dalam Rasulullah SAW melalui sabdanya, “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika dia tidak mampu (berbuat demikian), maka hendaklah dia membahagikan perutnya kepada tiga bahagian: sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Malahan, makan dengan berpatutan bukan hal yang remeh, malah mampu mengelak umatnya mendapat sakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan kanser. Jelas, kesihatan wajib dijaga. Kenapa tidak tauladan ini diamalkan bermula hari ini.

1. Memulakan Dengan Niat dan Mengingati Allah
Sebelum makan, Rasulullah SAW mendidik umatnya supaya memulakan dengan menyebut nama Allah sebagai tanda syukur dan pengiktirafan bahawa rezeki itu datang daripada-Nya.

“Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu…”

Amalan membaca “Bismillah” menjadikan makanan itu diberkati dan dijauhkan daripada gangguan syaitan.
Lebih bagus diamalkan selain bismillah, bacaan doa makan.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِبِسْمِ اللَّهِ وَعَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ

Maksud: "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, berkatilah kami pada rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dan peliharalah kami daripada azab neraka. Dengan nama Allah dan atas keberkatan Allah."

Terdapat juga bacaan tertentu sekiranya anda lupa membaca doa. 

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan sahih)

ikhlasdotcom.jpg

2. Makan Menggunakan Tangan Kanan

Makan menggunakan tangan kanan pula disebut dalam hadis daripada Rasulullah SAW:

إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Maksudnya: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.”
(HR Muslim, hadis sahih)

3. Makan Menggunakan Hanya Tiga Jari
Rasulullah SAW juga mengajar kita adab makan yang sederhana. Menurut Ka’ab bin Malik r.a., Baginda makan menggunakan hanya tiga jari — ibu jari, jari telunjuk, dan jari tengah (HR Muslim). Cara ini bukan sahaja sopan, tetapi juga memudahkan kita mengambil makanan secara sederhana dan bersih.

Makan dengan tiga jari membantu kita mengawal kuantiti makanan yang diambil, mengelakkan pembaziran, dan menunjukkan rasa hormat terhadap rezeki yang diberikan Allah SWT. Ia juga menggalakkan kesedaran semasa makan, membuat kita lebih menghargai setiap suapan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Amalan kecil seperti ini mencerminkan adab dan sunnah yang boleh diamalkan setiap hari, sekaligus membentuk tabiat makan yang bermanfaat dari segi fizikal dan rohani.

4. Menjaga Kebersihan Sebelum Makan
Islam sangat menitikberatkan kebersihan sebagai sebahagian daripada iman. Membasuh tangan sebelum makan bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga menzahirkan adab seorang Muslim yang menjaga kesucian.

ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ ٱلَّذِي أَطْعَمَ مِنَ ٱلطَّعَامِ، وَسَقَى مِنَ ٱلشَّرَابِ، وَكَسَى مِنَ ٱلْعُرْيِ، وَهَدَى مِنَ ٱلضَّلَالَةِ، وَبَصَّرَ مِنَ ٱلْعَمَى، وَفَضَّلَ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا. ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِينَ.

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberi makanan untuk dimakan, minuman untuk diminum, pakaian untuk menutup aurat, memberi petunjuk daripada kesesatan, memberi penglihatan daripada kebutaan, dan melebihkan kita atas banyak makhluk yang diciptakan-Nya. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”
Ini menunjukkan bahawa persediaan makan dalam Islam bermula dengan kebersihan fizikal dan rohani.

4.jpg

5. Tidak Mencela Makanan
Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, Baginda makan. Jika tidak, Baginda meninggalkannya tanpa mengkritik.

Adab ini mengajar kita lebih menghormati rezeki, mengelakkan pembaziran, menjaga hati orang yang menyediakan makanan. Terutama bagi seorang suami ketika berhadapan dengan masakan isteri yang mungkin kurang menepati selera, apatah lagi dalam Ramadan ketika isteri memasak tanpa dapat merasa masakan tersebut. Cara ini banyak membantu.

6. Bersederhana dan Tidak Berlebihan
Islam melarang sikap berlebihan ketika makan. Allah SWT berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksudnya: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan.”
(Surah Al-A‘raf: 31)

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa perut tidak sepatutnya dipenuhi sepenuhnya, sebaliknya cukup sekadar memberi tenaga untuk beribadah. Juga penting untuk menjaga kesihatan diri, mengelak penyakit kronik. Amalan ini juga baik bagi mereka menjaga berat badan.

7. Mengutamakan Duduk dan Makan Dengan Tenang
Baginda SAW makan dalam keadaan duduk, penuh tawaduk, tidak gelojoh dan tidak tergesa-gesa. Ini melatih jiwa supaya anda mensyukuri nikmat, menghayati makanan dan mengelakkan sifat rakus. 

Makan dalam keadaan tenang juga memberi manfaat kesihatan dan membantu penghadaman. Makanan berkarbohidrat tinggi seperti nasi mengambil masa untuk hadam. Apabila kita mengunyah makanan, makanan itu bercampur dengan air liur dan membentuk gumpalan lembut (bolus). Gumpalan ini kemudian ditelan dan bergerak melalui saluran makanan (esofagus) menuju ke perut. 

Secara purata, proses penghadaman lengkap dari makanan dimakan sehingga sisa dikeluarkan, mengambil masa antara 24 hingga 72 jam.

3.jpg

8. Berkongsi Makanan dan Menggalakkan Kebersamaan
Antara sunnah yang sering dilupakan ialah makan bersama-sama. Rasulullah SAW bersabda bahawa makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, dan makanan untuk dua orang cukup untuk empat.

Malah terdapat riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW pernah menyuap makanan kepada para sahabat, dan para sahabat juga saling berkongsi serta menghulurkan makanan antara satu sama lain dengan tangan sebagai tanda kasih sayang dan ukhuwah. 

Amalan ini menggambarkan keakraban dalam makan berjemaah, namun ia bukanlah suatu kewajipan. Menggunakan tangan, khususnya tangan kanan, lebih menepati sunnah dan dianggap lebih dekat dengan keberkatan kerana ia melambangkan tawaduk serta kebersamaan dengan makanan yang dikurniakan Allah.

Pada masa yang sama, Islam tidak melarang perbualan ketika makan. Berbual secara sederhana adalah harus dan boleh mengeratkan hubungan serta mewujudkan suasana harmoni. Sebahagian orang menyangka makan mesti dalam keadaan diam sepenuhnya, sedangkan yang dilarang ialah bercakap perkara sia-sia, ketawa berlebihan, atau berkelakuan tidak sopan sehingga menghilangkan adab makan.

Ini menunjukkan keberkatan hadir melalui perkongsian, ukhuwah dan rasa cukup (qana‘ah). Selain itu, ia juga melatih kita bersederhana, menghargai nikmat Allah, dan mengeratkan silaturahim antara sesama insan.

9. Utamakan Makanan Sebelum Solat
Apabila waktu berbuka tiba, kita dianjurkan untuk menikmati juadah dengan sederhana sebelum menunaikan solat Maghrib. Adab ini bertujuan supaya tubuh tidak terlalu lapar, membolehkan kita solat dengan khusyuk dan lancar. Namun, jangan berlebihan; makan secukup rasa lapar supaya pergerakan solat tetap mudah.

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda:
إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاء

Maksudnya: “Apabila makanan (makan malam) dihidangkan sedangkan solat telah didirikan, mulakanlah dengan makanan.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Jelas, Rasulullah SAW mengajar kita menjaga kesihatan, menghargai rezeki, dan mengamalkan adab yang baik dalam setiap perkara, termasuk cara berbuka puasa.

10. Menutup Dengan Doa dan Rasa Syukur
Selepas makan, Rasulullah SAW memuji Allah sebagai tanda syukur atas nikmat yang diberikan.

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”

Rasulullah SAW juga ada bersabda:
مَنْ أَكَلَ طَعَامًا ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ

Maksudnya: "Siapa memakan makanan kemudian membaca doa: "Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan ini kepadaku sebagai rezeki, tanpa daya dan kekuatan dariku." Maka akan diampuni dosanya yang lalu dan yang akan datang."
(HR Abu Daud, hadis hasan)

Syukur selepas makan menjadikan nikmat itu terus bertambah dan diberkati. Sunnah Nabi SAW dalam persediaan makan dan minum mengajar kita bahawa setiap suapan boleh menjadi pahala apabila disertai adab dan kesedaran kepada Allah. Makan bukan sekadar rutin harian, tetapi satu bentuk ibadah yang membina disiplin, kesederhanaan dan rasa syukur.

Apabila sunnah ini dihidupkan, meja makan bukan hanya tempat mengisi perut tetapi menjadi tempat lahirnya keberkatan dalam kehidupan.