5 Jenis Kopi Vietnam Anda Mesti Cuba
Nurul Atikah Sarji
2025-11-29
Siapa sangka, sebuah negara kecil di Asia Tenggara ini menyimpan rahsia kopi yang luar biasa? Ya, Vietnam bukan hanya terkenal dengan keindahan semula jadi dan sejarahnya yang kaya. Tetapi, negara ini juga merupakan syurga bagi pencinta kopi.
Diperkenalkan oleh penjajah Perancis sekitar pertengahan abad ke-19, kopi di Vietnam bukan sekadar minuman, tetapi satu gaya hidup yang terus berkembang sehingga ke hari ini. Di sini, frasa “jom minum kopi” membawa maksud lebih besar iaitu tempat berkumpul sahabat, berbincang soal kerja atau sekadar menikmati masa bersendirian.
Jom kita ketahui lima jenis kopi Vietnam yang wajib anda cuba sekurang-kurangnya sekali seumur hidup!
Kopi Ais Susu

Kopi Ais Susu, atau juga dikenali sebagai cà phê sữa đá, kopi ais susu adalah antara warisan kopi Vietnam yang paling ikonik. Disediakan dengan teknik titisan perlahan melalui penapis logam khas (phin), kopi pekat ini kemudian digabungkan dengan susu pekat manis dan ais. Gabungan rasa pahit dan manis yang seimbang menjadikan minuman ini sangat menyegarkan, terutamanya di tengah cuaca tropika.
Bạc Xỉu
Bạc xỉu bukan sekadar kopi. Ia adalah cerita tentang bagaimana tiga budaya iaitu Cina, Vietnam dan Perancis. Diperkenalkan oleh komuniti Cina di Saigon sekitar awal abad ke-20, minuman ini dicipta untuk mereka yang kurang gemar rasa kopi yang terlalu kuat, terutamanya wanita dan kanak-kanak. Bạc xỉu mengandungi lebih banyak susu pekat berbanding kopi, menjadikannya lebih manis dan ringan.
Kopi Telur

Siapa sangka kuning telur boleh mencipta kopi yang luar biasa? Semasa zaman perang pada tahun 1940-an, apabila susu dan gula sukar didapati, seorang barista kreatif bernama Encik Giang di Hanoi menghasilkan alternatif unik iaitu cà phê trứng atau kopi telur.
Menggunakan kuning telur yang dipukul bersama madu dan susu, kemudian dituangkan ke atas kopi panas, ia menghasilkan buih emas pekat yang kaya dan berkrim. Biasanya disajikan dalam cawan kecil dengan mangkuk air panas untuk mengekalkan kehangatannya.
Baca juga: Uniknya Kopi Telur Vietnam! Tapi Tak Hanyir Ke?
Kopi Garam
Kedengaran pelik? Percayalah, cà phê muối atau kopi garam adalah salah satu ciptaan paling menarik dari Vietnam. Berasal dari bandar Hue, kopi ini mencampurkan kopi robusta dengan secubit garam halus, tetapi hasilnya sangat luar biasa. Rasanya seperti versi kopi karamel masin!
Ia dihidang dalam tiga lapisan iaitu susu pekat di dasar, kopi di tengah, dan lapisan buih krim di atas. Bila dikacau rata, garam memperkuatkan rasa kopi dan melembutkan rasa pahit.
Kopi Kelapa

Bagi yang menggemari rasa tropika, cà phê dừa atau kopi kelapa pasti mencuri hati anda. Ia menggabungkan rasa pekat kopi dengan manis lemak santan dan susu pekat. Sungguh menyelerakan!
Proses penyediaannya cukup istimewa, santan dan susu pekat dikisar bersama ais hingga berkrim, manakala kopi hitam dipukul hingga berbuih. Akhirnya, kedua-duanya disatukan dalam satu cawan yang bukan sahaja cantik dipandang, tapi juga memikat rasa.