Mengenali Setiap Jenis Nasi Arab
Nurul Atikah Sarji
2025-12-02
Bagi yang belum biasa dengan variasi nasi Arab, mungkin anda tertanya-tanya apa sebenarnya yang membezakan setiap hidangan tersebut. Ada yang lebih berempah, ada pula lebih ringan aromanya, dan ada juga yang terkenal kerana cara masak serta gabungan lauknya.
Jom kita kenali perbezaan beberapa jenis nasi Arab yang popular agar anda lebih mudah memilih hidangan kegemaran nanti! Terutama anda yang sedang merancang untuk mengerjakan umrah bersama ikhlas.com.

Nasi Mandhi
Nasi Mandhi merupakan salah satu jenis nasi Arab yang paling dikenali dan digemari ramai. Hidangan ini berasal dari Yaman dan sangat popular di Mesir, Maghribi, Oman, Syria, Turki dan Arab Saudi Nasi Mandhi menggunakan pelbagai rempah seperti buah pelaga, jintan putih, ketumbar, kunyit, bunga lawang dan lain-lain.
Nasi Kabsah
Nasi Kabsah kelihatan hampir sama dengan Nasi Mandhi, tetapi mempunyai perbezaan dari segi penggunaan rempah. Di Jordan, nasi ini bewarna kemerahan kerana dicampur dengan pes tomato, manakala di Arab Saudi, Oman dan Yaman, warnanya lebih kekuningan. Biasanya, Nasi Kabsah dihidangkan bersama syurba (sup) dan salata (salad), menjadikannya satu hidangan lengkap.
Nasi Maqluba
Dikenali di Jordan dan Syria, hidangan ini juga unik kerana cara penyajiannya yang terbalik, seiring dengan maksud namanya ‘Maqluba’, yang bermaksud ‘terbalik’. Di bahagan dasar periuk, diletakkan ayam atau kambing bersama sayur-sayuran goreng seperti lobak merah, kentang, dan terung, sebelum nasi dituang di atasnya. Setelah nasi masak, periuk akan diterbalikkan ke dalam pinggan untuk mengekalkan susunan unik hidangan ini.
Nasi Hadramaut
Sering dibandingkan dengan Nasi Mandhi, Nasi Hadramaut sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Perbezaan utamanya adalah penggunaan rempah yang lebih banyak, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding Nasi Mandhi. Ini memberikan aroma serta rasa yang lebih kaya, menjadikannya pilihan utama bagi penggemar hidangan berempah dan enak!
Setiap jenis nasi Arab mempunyai keunikan rasa, aroma dan cara penyediaan yang tersendiri. Sama ada anda peminat nasi yang kaya rempah atau sukakan hidangan yang lebih ringan, pasti ada satu yang sesuai dengan selera anda.
Apa pun pilihan anda, nasi Arab tetap menjadi sajian yang sempurna untuk dinikmati bersama keluarga atau rakan-rakan. Selamat mencuba dan selamat menikmati keenakan hidangan Timur Tengah ini!