5 Makanan Mesti Dicuba Bila ke Arab Saudi
Nurul Atikah Sarji
9/5/2024
Percutian merupakan satu aktiviti yang sangat menarik. Bukan sahaja dapat menerokai tempat-tempat baru dan mempelajari budaya di sesuatu kawasan, malah sudah tentu kita pasti dapat mencuba serta merasai makanan lokal. Jika mahu ke Arab Saudi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba lima makanan menarik ini:
Kabsah
Kabsah merupakan satu istilah dari Bahasa Arab yang membawa maksud sejenis makanan yang berasaskan nasi dimasak bersama daging atau ayam yang dihidang bersama soso salatha. Selain daripada daging dan ayam, kadang kala terdapat juga kabsah dihidangkan bersama dengan ikan.
Shawarma
Shawarma, atau juga dikenali sebagai shawurma, merupakan hidangan daging khas dari kawasan Levant di Arab. Hidangan ini menggunakan daging seperti kambing, ayam atau lembu. Proses memasaknya melibatkan potongan daging pada dapur yang menegak yang dipanggang secara perlahan selama beberapa jam. Setelah matang, daging yang dihiris tipis diletakkan di atas roti, biasanya roti pita atau wrap, bersama dengan sayuran dan bawang. Hidangan ini tidak lengkap tanpa sos dan mayonis. Sebelum dimasak, daging terlebih dahulu diperap dengan campuran rempah-rempah khusus untuk memberikan rasa yang lazat !
Kunafa
Tidak lengkap ke Arab Saudi tanpa mencuba hidangan pencuci mulut iaitu Kunafa. Hidangan ini dibuat menggunakan pastri halus yang dipanggil kataifi. Lalu, pastri ini direndam dengan sirap manis berasaskan gula yang disebut attar dan biasanya dilapisi dengan keju. Kuanfa juga kebiasaannya disajikan dengan bahan lain seperti krim, pistachio, atau kacang. Selain daripada Arab Saudi, Kunafa juga dapat ditemukan di Turki, Yunani, Palestine dan Balkan.
Tamis
Tamis merupakan sejenis roti yang sangat mirip dengan roti naan di malaysia, tetapi saiznya jauh lebih besar. Roti ini biasanya dinikmati pada waktu sarapan, dan menjadi pilihan ramai di kalangan masyarakat Arab sebagai hidangan pagi mereka. Tamis biasanya dimakan bersama ‘mushakkal’, iaitu kuah kari kacang kuda yang telah dikisar dan juga dicampur dengan lada hitam, serta ditabur keju di atasnya. Harga kuah ini biasanya lebih mahal berbanding roti tamis kerana ia dijual secara berasingan. Selain itu, tamis juga boleh dinikmati bersama “khibdah”, iaitu hati lembu yang dicincang bersama tomato serta bawang putih yang dipotong dadu.
Chai Halib
Di Malaysia, teh tarik amat terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan, manakala di negara-negara Arab, teh susu atau chai halib pula menjadi minuman yang paling popular. Cara penyediaan chai halib ini agak berbeza daripada teh susu di Malaysia. Chai halib dibuat menggunakan susu penuh krim bersama sedikit susu tepung, dan campuran ini dimasak sehingga mendidih. Selepas itu, uncang teh dimasukkan ke dalam gelas, kemudian campuran susu panas tadi dituang ke dalam gelas yang berisi uncang teh tersebut. Rasa teh susu di Arab memiliki keunikannya tersendiri dan berbeza daripada teh susu yang biasa ditemui di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih menerusi Apple App Store dan Google Play Store.