Santan Perkenal Kempen Club Zero untuk Penumpang AirAsia

Hanan Latip

8/28/2024

[Daily_Kurma]_Santan_Perkenal_Kempen_Club_Zero_untuk_Penumpang_AirAsia.png
Kredit Foto: AirAsia Newsroom

Santan, anak syarikat katering dalam penerbangan dan makanan serta minuman di bawah Capital A, telah melancarkan 'Club Zero', sebuah kempen inovatif yang mempromosikan pengambilan gula yang rendah di dalam makanan bagi menggalakkan pilihan yang lebih sihat. Majlis yang penuh bermakna ini telah dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Bin Ahmad dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Puan Fuziah Salleh.

'Club Zero' merupakan satu usaha berterusan Santan untuk menawarkan pilihan yang lebih sihat kepada pengguna yang semakin mementingkan kesihatan. Berdasarkan kejayaan minuman tanpa kalori gula jenama Santan, seperti ZERO Watermelon Coconut Latte dan ZERO Pistachio Coconut Latte yang laris terjual dalam penerbangan, kempen ini menawarkan lebih banyak pilihan alternatif yang lazat dan lebih sihat kepada tetamu AirAsia. Perkara ini telah mendapat kerjasama utuh dengan jenama tempatan yang terkenal seperti Secret Recipe dan Tealive. 

YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Bin Ahmad berkata, “Saya memuji usaha Santan untuk memimpin inisiatif penting ini dan kerjasama mereka dengan jenama tempatan untuk menjadikan pilihan yang lebih sihat lebih mudah diakses oleh semua. Pelancaran Club Zero adalah langkah penting dalam usaha kita untuk mengurangkan pengambilan gula dan menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya berharap lebih banyak jenama akan mengikut jejak ini dan menawarkan pilihan yang lebih sihat kepada pelanggan.”

“Club Zero mencerminkan misi kami untuk merevolusikan pilihan makanan dan minuman. Santan telah menetapkan standard baharu dalam sajian dalam penerbangan, membuktikan bahawa kualiti tinggi boleh dicapai walaupun dalam segmen penerbangan tambang rendah. Kami telah meningkatkan kualiti, kepelbagaian, dan kemampuan tawaran dalam penerbangan, meletakkan penanda aras baharu untuk industri. Dengan lebih 20 juta hidangan terjual setiap tahun, kami komited untuk menawarkan pilihan yang lebih sihat. Memandangkan isu kesihatan awam yang serius berkaitan diabetes di Malaysia, kami berbangga untuk memacu usaha ini dengan bekerjasama dengan dua jenama tempatan untuk menyediakan produk rendah gula, menjadikan pilihan yang lebih sihat, lazat, dan mudah diakses oleh semua tetamu AirAsia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh. 

[Daily_Kurma]_Santan_Perkenal_Kempen_Club_Zero_untuk_Penumpang_AirAsia_(2).png
Kredit Foto: AirAsia Newsroom

Siri minuman Club ZERO Santan yang direka untuk dinikmati dengan gula tanpa kalori, kini merangkumi: ZERO Watermelon Coconut Latte, ZERO Pistachio Coconut Latte, ZERO Pistachio Coconut Milk, ZERO Watermelon Coconut Milk, ZERO Watermelon Coconut Water, dan ZERO Pistachio Jasmine Milk Tea. Pilihan berasaskan kopi, seperti latte, menggunakan kapsul kopi buatan Santan sendiri yang dihasilkan menggunakan Teknologi Pembekuan Kering untuk memberikan kopi berkualiti bertaraf barista di udara. Semua minuman berharga RM13 di dalam penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan RM14 di dalam penerbangan AirAsia X (D7).

Selain itu, rakan Club Zero, Tealive kini menawarkan ZERO Original Milk Tea dengan Konjac Pearl dan Kek ZERO Chocolate Indulgence dari Secret Recipe, kedua-duanya dengan 50 peratus kurang gula. Menu ini boleh didapati pada harga RM13 di penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan RM14 di penerbangan AirAsia X (D7).

Turut hadir Tan Sri Tony Fernandes, CEO Capital A Bhd, Bryan Loo, Pengasas dan CEO Loob Holding Sdn Bhd dan Patrick Sim, Pengarah Urusan Secret Recipe. 

 

Sumber: AirAsia Newsroom