Jom DIY Pemanis Mulut di Butterae, Kafe Comel di Tengah Kota!
Nurul Atikah Sarji
5/16/2025
Anda penggemar pencuci mulut dan sukakan idea ‘do it yourself’ dessert? Butterae mesti masuk dalam senarai anda! Butterae merupakan projek kafe pertama daripada Brownandsyai. Sudah pun beroperasi selama empat bulan, kafe ini mula mendapat tempat di hati foodie yang sukakan hidangan manis.
Keunikan yang Ada di Butterae
Konsep di Butterae sangat unik, iaitu custom DIY! Anda boleh pilih sendiri komponen manisan seperti sos coklat, sos pistachio dan sebagainya mengikut selera anda. Buah-buahan pilihan juga banyak seperti strawberi, mangga dan kiwi. Konsep sebegini agak baru, jadi tidak semua pelanggan tahu cara memesan pemanis mulut yang diinginkan. Namun, jangan khuatir! Anda hanya perlu bertanya kepada pekerja kafe dan mereka sedia membantu.
Antara Pemanis Mulut Bestseller
Basque Burnt Cheesecake, RM17.50
Cheesecake yang dibakar hingga ‘hangus’ di luar, tetapi masih kekal lembut dan berkrim di dalamnya. Berbeza dengan Burnt Cheesecake yang lain, Butterae menyediakan aneka pilihan sos coklat seperti sos pistachio yang dicurahkan ke atas kek ini yang menaikkan lagi rasa. Ditambah pula dengan topping buah strawberi, satu paduan rasa yang amat menyelerakan.
Strawberries Chocolate in a Bowl, RM14.00
Hidangan ringkas ini juga berjaya menambat selera ramai. Siapa yang tidak suka dengan strawberi segar yang dicurah dengan coklat pekat melipah? Satu kudapan ringan yang tidak pernah lapuk.
Strawberry Pistachio Tres Leches, RM18.50
Pencuci mulut ini sememangnya layak menjadi best seller di Butterae! Gabungan kek susu lembab dengan krim pistachio, coklat dan potongan strawberi segar membuahkan rasa manis dan masam yang seimbang dalam mulut. Rasa manisnya tidak keterlaluan dan tidak muak.
Fudgy Brownies, RM15.50
Anda peminat coklat? Sudah tentu Fudgy Brownies bakal menjadi pilihan yang tepat. Antara pilihan topping pengunjung kafe ini adalah gabungan sos karamel dan juga serpihan biskut Biscoff.
Pavlova Vanilla Cremeux, RM16.00
Pemanis mulut ini pula menggabungkan pavlova rangup dengan krim vanilla yang sangat berkrim, ditambah dengan sos coklat dan potongan blueberi.
Iced Chocolate, RM9.80
Tidak lengkap pengalaman menjamu selera di kafe ini, sekiranya anda tidak cuba Iced Chocolate mereka. Hidangan air coklat pekat berkrim dan menyegarkan menjadi pelengkap momen gembira menikmati hidangan manis.
Selain itu, anda juga boleh cuba pemanis mulut lain di Butterae iaitu Tiramisu in a Box, Croissant Pudding with Vanilla Sauce & Mix Berries, Croissant Pudding with Vanilla Sauce, Banana Brulee dan Macarons. Dekorasi Butterae sangat sederhana dan tampak selesa! Bolehlah anda luangkan masa bersama teman atau yang tersayang, di saat teringinkan hidangan manis yang tidak terlalu berat.
Alamat: Oakwood Hotel, Jalan Ampang
Waktu Operasi: Setiap Selasa hingga Ahad, jam 11 pagi hingga 7 malam