Jika Sampai ke Johor, Rugi Tidak Singgah ke 6 Kopitiam Ini!

Hanan Latip

6/6/2024

Anda ingin berjalan-jalan hujung minggu ke negeri Johor tapi tidak tahu hendak buat apa? Apa kata anda jelajah sambil jalan-jalan cari makan dengan mencuba kedai-kedai kopitiam yang terkenal di Johor. Kami senaraikan 6 kedai kopitiam yang wajib anda singgah! Teruskan membaca artikel ini.

1. Kluang Rail Coffee

Kluang_Rail_Coffee.jpg
The Star

Nama kedai ini tidak asing lagi bagi penggemar makanan kopitiam kerana ia telah bertapak lama di sini. Kedai ini dibina bermula tahun 1938 lagi, setelah pemiliknya Lim Luan Hee dan Lim Heng Yong menerima tawaran untuk membuka kantin bagi tentera British yang berada di stesen keretapi Kluang yang mana menjadi laluan keretapi utama dari Malaysia-Singapore.

Fooods_at_Kluang_Rail_Coffee.jpg
Tripadvisor

Antara makanan signature di sini ialah roti bakar kaya butter, laksa johor, kopi ais dan bermacam-macam lagi! Entah apa rahsianya, tetapi memang boleh rasa perbezaan roti bakar di sini dengan kedai lain. Jika anda berkenan dengan kopi di sini, anda boleh dapatkan produk serbuk kopi sebelum pulang. 

Cawangan Kluang Rail Coffee yang wajib anda kunjungan terletak bersebelahan dengan Stesen KTM Kluang. Dapatlah menikmati keenakan roti bakar bersama kopi panas sambil dihidangkan dengan suasana seperti kembali ke zaman dahulu kala dan melihat penumpang yang masih menggunakan kereta api lama di sini. Di Kluang saja, ada lagi 4 cawangan Kluang Rail Coffee. Jadi, mudahlah untuk anda datang jika salah satu tempat penuh dengan pelanggan! Mereka juga turut ada cawangan di Yong Peng dan Shah Alam.

Alamat: KTM, Jalan Station, 86000 Kluang, Johor 

Waktu Operasi: 7am hingga 6pm (Tutup pada hari Isnin) 

2. Kopi 434 Muar

Kopi_434_depan_kedai.jpg
Johor Kaki

Tahukah anda, angka 434 pada nama kedai datang dari 3 digit terakhir Encik Kiar Am Sai, seorang pengasas Kopi 434 Muar! Kedai ini sering kali dikunjungi oleh pelbagai kaum tidak kira Melayu, Cina, India dan Sikh dari dahulu sehinggalah kini, dalam kalangan peminat kopi tempatan dan juga seberang laut. Dan kini mereka mampu menghasilkan 10 tan biji-biji kopi dalam sehari. 

Kopi_434_Muar.jpg
We Love Muar

Jika berjalan-jalan ke Muar, anda kena singgah dan mencuba menu seperti kopi 434, roti bakar kaya dan nasi lemak. Di sini, mereka meletakkan otak-otak di dalam nasi lemak. Unik kan? Jangan lupa cuba ya!

kopi_434_muar.png

Alamat:  121, Jalan Maharani, Taman Sri Emas, 84000 Muar, Johor 

Waktu Operasi: 8am hingga 5.30pm (Setiap hari)

3. Kluang Coffee Television Brand 

kopi_televisyen_kluang.png

Anda pernah nampak paket kopi ini? Orang tempatan memanggilnya kopi cap tv dan terkenal dengan kopi 'o' kosongnya. Diasaskan oleh Encik Goh Tong Tor (Goh Ah Kow) pada 1966, jenama ini terkenal dan menjadi buah mulut orang sekeliling. Kini, Kluang Coffee Television Brand telah menjadi pemborong kopi terkemuka di Kluang dan mendapat nama ‘kopi kow’ di wilayah ini. Jangan lupa untuk berehat sebentar dan  menikmati kopi 3 in 1. Pastinya adunan kopi di sini lain daripada yang lain!

Alamat: 76, Jalan Besar, Kampung Yap Tau Sah, 86000 Kluang, Johor

Waktu Operasi:  9am hingaa 5.30pm (Setiap hari) 

4. Ramly Kopitiam

Ramply_Kopitiam.jpg
Johor Kaki

Kali ini kita ke Batu Pahat pula. Kedai ini pada awalnya dikenali dengan Kedai Makan Tong Ah yang dibuka sejak 1932. Encik Tan Yin Yoo merupakan pemilik dan juga fotografer terkenal di Batu Pahat telah membuat keputusan untuk menyerahkan kedai miliknya kepada Encik Ramly, pekerja setia beliau yang telah bekerja selama lebih 30 tahun! Dan kini, Encik Ramly sekeluarga meneruskan perniagaan ini.

Di sini disediakan menu mee rebus, nasi lemak, sate dan bermacam-macam lagi. Turut ada menu lontong sotong dan lontong kering yang menjadi kegemaran ramai. Tak dilupakan juga roti bakar bersama telur. Anda boleh merasai pelbagai jenis makanan di dalam kedai lama. Bukan selalu dapat merasai perkara sebegini bukan?

Alamat: 3, Jalan Engan, Kampung Sateh, 83000 Batu Pahat, Johor

Waktu Operasi: 8am hingaa 3pm (Tutup pada hari Khamis) 

 

5. Kelab Kopi Lama

Kelab_Kopi_Lama.jpg
Downtown JB

Tak lengkap rasanya jika sudah turun ke Johor tapi tidak makan di Kelab Kopi Lama, sebuah kopitiam terbesar di Johor Bahru. Ada pelbagai hidangan yang disediakan dan sesuai dengan selera masyarakat tempatan kerana mereka menghidangkan juadah lokal seperti nasi lemak, nasi beringin, nasi dagang, pelbagai jenis mee, nasi himpit dan bubur, makanan bergoreng dan macam-macam lagi. Antara menu yang menjadi pilihan ramai yang boleh dicuba ialah nasi ayam penyet sambal ijo dan nasi goreng kambing. Lazatnya!

Alamat: 2, Jln Kempas Utama 1/1, Taman Kempas Utama, 81300 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: 7.30am hingga 10pm (Setiap hari)

6. Kanteen Asia 31

Kanteen_Asia_31.jpg
Daily Johor

Kanteen Asia 31 ada menyediakan pelbagai menu seperti mee kari, bubur ayam pedas, roti titab, roti bakar kaya dan macam-macam lagi! Dry ban mian ataupun pan mee merupakan menu yang wajib anda cuba di kedai ini kerana rasanya yang berbeza kerana menggunakan chili oil resipi yang istimewa. Dengan saiz kedai yang luas dan lapang, mudah untuk berkumpul bersama keluarga juga rakan-rakan bersarapan beramai-ramai di sini. 

Kini, Kanteen Asia 31 telah membuka cawangan baru di Johor. Tidak perlu bersesak-sesak di Gelang Patah. Uniknya kedai ini adalah usahasama pemilik berbangsa Melayu dan Cina.

Alamat: 68 Avenue, Commercial Hub, Suria 4, No 7 Jalan, 79100 Iskandar Puteri, Johor 

Waktu Operasi: 7.30am hingga 5.30 pm (Setiap hari)

Alamat: B5 Johor Street Market (berhadapan dengan Maslee) 

Waktu Operasi: 7.30am hingga 9.30pm (Setiap hari)

Untuk membaca artikel Halal Food yang lain: