Jelajah Rasa Ramadan: Menikmati Sajian Autentik yang Menggamit Selera
Marini Mat Zain
2026-02-03
Mengintai ke dalam Zende Restaurant, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, aroma enak yang menyapa deria seolah-olah melintas di hujung hidung, sekali gus membuka selera. Bauan masakan segar yang sedang disediakan mengundang langkah untuk terus mara ke hadapan.
Sejumlah 15 gerai makanan disediakan, masing-masing menghidangkan pelbagai menu istimewa, daripada hidangan tradisional tempatan hinggalah sajian antarabangsa yang menggamit selera. Bertemakan Jelajah Rasa Ramadan 2026, jelas, kumpulan kulinari Seri Pacific telah menyediakan hidangan serantau.
Berteraskan kekayaan dan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia, tema bufet ramadan tahun ini mengajak anda, para pengunjung menikmati perjalanan rasa melalui hidangan istimewa dari segenap pelosok negara.
Bufet ini menyajikan aneka juadah tradisional yang menjadi kegemaran ramai, di samping sajian istimewa yang disediakan dengan penuh teliti oleh pasukan kulinari berpengalaman Restoran Zende, bagi mengekalkan keaslian rasa serta resipi warisan turun-temurun.


Pengalaman menjamu selera turut diperkaya dengan pilihan hidangan utama yang mengenyangkan, selain stesen masakan langsung yang interaktif, sekali gus menambah keterujaan dan memberikan pengalaman makan yang lebih segar dan menyeronokkan.
Demonstrasi hidangan kari kepala ikan oleh ketua chef membuka selera. Kami teruja menjamah sup gearbox bersaiz besar penuh mangkuk. Rasanya enak dihirup bersahaja atau digaul bersama nasi panas.
Serawa durian dimakan bersama nasi kukus paling enak di mulut dan memikat setiap rasa. Kombinasi lemak manis durian dengan nasi yang lembut menghasilkan rasa yang kaya dan memuaskan, menjadikannya pencuci mulut yang sukar dilupakan.
Banyak lagi menu Ramadan yang wajib dicuba, menampilkan gabungan rasa dan warisan tempatan yang kaya, antaranya Rantau Sup Warisan Ramadan, Dataran Kambing Panggang Nusantara, sajian klasik Kari Kepala Ikan, serta hidangan istimewa dari Pantai Timur seperti Ikan Patin Tempoyak Pahang. Deretan menu ini diperkaya lagi dengan pilihan masakan berasaskan salai, selain pelbagai juadah tradisional tempatan yang sentiasa menjadi kegemaran ramai.


Setiap hidangan disusun dengan teliti bagi mencipta pengalaman menjamu selera yang bukan sahaja mengenyangkan, malah mengeratkan hubungan sesama insan. Suasana bufet yang mesra dan selesa menjadikan pengalaman berbuka lebih bermakna, sama ada bersama keluarga, sahabat handai, mahupun rakan sekerja.
Dengan kepelbagaian sajian autentik dan suasana yang menyenangkan, bufet Ramadan ini menjadi pilihan ideal untuk meraikan kebersamaan sepanjang bulan mulia. Ia bukan sekadar menikmati makanan, tetapi satu pengalaman yang menyatukan rasa, tradisi, dan semangat Ramadan dalam setiap hidangan.

Butiran Acara
Tarikh: 20 Feb - 18 Mac 2026
Waktu: 6.30 petang - 10 malam
Tempat: Pacific Ballroom, Aras 2, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur
Harga: RM158 Nett / pax (Dewasa) & RM79 Nett / pax (untuk kanak-kanak, 6-12 tahun dan Warga Emas)