Jamu Selera & Nikmati Kehijauan Padang Kuda di Ekues Cabin Cafe
Hanan Latip
2025-09-02
Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan dan kaya dengan keindahan memukau pengunjung yang ingin melawat Masjid Putra, Taman Botani Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Anjung Floria dan banyak lagi. Pada kali ini, kami meneroka dan temui kafe unik yang diberi nama Ekues Cabin Cafe.
Keunikan Konsep Berkuda
Kami bersama Pengurus Ekues Cabin Cafe, Faris Shahbuddin. Menariknya, ketika ditanya tentang bagaimana tercetusnya idea untuk membuka kafe ini, dia berkata, “Pemilik kafe iaitu Mohd Iqbal Kamaruddin ialah seorang horse rider. Sebelum itu (tahun 2021), di sini tiada apa-apa. Hanyalah kantin kecil dan tidak mempunyai variasi menu makanan. Jadi dia terfikir untuk membuka sebuah restoran yang elok."

Sukan berkuda sinonim dengan golongan berada. Dengan adanya kafe ini, ia menjadi pitstop pelanggan networking dan bersantai setelah melakukan aktiviti. Menariknya lagi, tidak mustahil untuk anda melihat kerabat diraja makan di kafe ini berbanding dengan tempat lain.


Bersebelahan dengan Ekues Cabin Cafe terdapat sebuah Taman Equestrian yang bernaung di bawah Pulse Group, di bawah Perbadanan Putrajaya. Taman seluas 70 ekar ini menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan ekuestrian untuk tunggangan awam, pertandingan, lawatan ke kandang kuda, kelas menunggang dan banyak lagi.
Sepanjang menguruskan kafe ini, mustahil tidak berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Kata Faris, selain menghadapi kesukaran daripada segi komunikasi, cuaca juga menjadi cabaran utama. Hal ini kerana, konsep kafe ini ialah outdoor. Biarpun terdapat ruang makan di dalam, namun kebanyakan ruang makan berada di kawasan luar.
Pada mulanya, kafe ini hanya beroperasi dalam sebuah kabin sahaja. Penambahbaikan berlaku demi menjamin keselesaan pengujung yang hadir. Sambil menjamu selera, bolehlah menikmati pemandangan padang kuda yang luas terbentang dan melihat aktiviti ekuestrian.
Hidangan ala Barat Menepati Selera
Kafe ini bukan sekadar ‘menjual pemandangan’, makanan yang ada di sini setara dengan apa yang dibayangkan! Dimulakan dengan menu signature dan bestseller iaitu Croissant Beef Strips. Ia adalah hidangan pilihan ramai dek keunikan sos yang digunakan. Lebih-lebih lagi paduan di antara croissant yang lembut dan dilapisi dengan beef strip yang cukup rasa. Makin lama anda makan, anda akan rasa pedas-pedas manja. Menu ini sahaja sudah mampu membuatkan anda kekenyangan.


Lamb Stew with Sourdough juga pasti akan kekal dalam ingatan anda. Hidangan ini mempunyai sentuhan istimewa kerana rasanya yang lain daripada yang lain. Rasa stewnya umpama sos bolognese tetapi lebih pedas dan kena dengan cita rasa tempatan. Daging kambing pula lembut dan enak dimakan bersama sourdough. Makanan yang boleh buatkan anda habiskan sehingga licin!

Antara hidangan lain yang anda boleh cuba adalah Mushroom Soup with Garlic Toast, Nasi Padang Polo, Nasi Daging Kuah Asam, Spicy Stack Toast dan Big Stallion Breakfast.
Selain itu, anda boleh juga cuba pelbagai minuman yang disediakan. Contohnya Hot Spanish Latte, Pistachio Latte dan Passion Fruit Mojito.

Perancangan Masa Hadapan
Selain memastikan kafe ini mengekalkan servis terbaik kepada pelanggan, Ekues Cabin Cafe juga merancang untuk mengembangkan perniagaan kepada barang merchandise seperti baju, totebag, barang ekuestrian dan pelbagai lagi. Tambah Faris lagi, Gua Juicery ialah cawangan kedua yang memberi fokus kepada sandwic dan jus.
Tip untuk ke Ekues Cabin Cafe: Buat anda yang ingin menikmati pemandangan kuda yang sedang melakukan aktiviti, anda digalakkan untuk datang pada lapan hingga 10 pagi dan empat hingga enam petang. Sekiranya anda datang selain waktu tersebut, kuda sedang berehat di kandang.
Orang awam juga boleh cuba untuk menunggang kuda dan pastinya di bawah kawalan dan jagaan pihak profesional. Jangan lupa datang!
Ekues Cabin Cafe
Alamat: Taman Ekuestrian, Jalan Kandang Kuda, Presint 5, 62000 Putrajaya
Waktu operasi: Selasa - Khamis, 8 pagi hingga 8 malam; Jumaat - Ahad, 8 pagi hingga 1 petang & 3 petang hingga 11 malam