Hidangan Kegemaran Ramai: 6 Jenis Laksa Terkenal di Malaysia
Nurul Atikah Sarji
2025-11-02

Kalau ditanya tentang makanan rakyat Malaysia, laksa pasti berada dalam senarai utama. Hidangan berkuah ini sangat unik kerana setiap negeri mempunyai cara tersendiri dalam menyediakan laksa.
Sempena Sambutan Hari Malaysia 2025, jom kita kenali enam variasi laksa popular di Malaysia yang menjadikan hidangan ini dekat di hati ramai rakyat Malaysia, bahkan pengunjung dari luar negara.
Asam Laksa Pulau Pinang

Versi laksa ini paling mudah ditemui di seluruh negara. Kuahnya yang pekat dan masam dibuat daripada ikan kembung rebus, asam jawa dan juga bunga kantan. Kelebihan laksa ini terletak pada rasa segar yang dilengkapi dengan hirisan timun, nanas, bawang merah, cili merah serta daun pudina. Ada juga yang menambah belacan untuk rasa yang lebih “kick”.
Laksa Kedah

Laksa Kedah, atau juga dikenali sebagai laksa utara, hidangan ini sering dibandingkan dengan asam laksa Pulau Pinang. Bezanya, laksa Kedah menggunakan ikan segar seperti ikan sardin atau ikan tenggiri. Malah, daun kesum menjadi bahan wajib, manakala sambal kelapa, pes udang, dan cili padi menambah lagi kelazatannya.
Laksa Sarawak

Laksa Sarawak merupakan permata kulinari Borneo. Kuahnya berasaskan campuran khas, santan, sambal belacan dan sedikit asam yang memberi keseimbangan rasa pedas, lemak dan harum. Hidangan istimewa ini dihidangkan dengan ayam yang sudah diracik, udang, telur dadar yang dihiris halus, taugeh serta perahan limau kasturi.
Laksa Nyonya

Berasal daripada negeri Melaka, Laksa Nyonya juga dikenali sebagai laksa lemak kerana kuahnya berasaskan santan pekat. Campuran kulit udang, tulang ayam dan rempah tertentu menghasilkan kuah yang sedikit manis, beraroma serta berkrim. Hidangan ini disajikan dengan udang segar, fishcake, telur rebus dan tauhu goreng rangup.
Laksa Kelantan

Laksa Kelantan sangat berbeza dari negeri lain. Kuahnya dibuat daripada isi ikan kembung yang dikisar halus dan dimasak bersama santan. Untuk menambah rasa, gula Melaka turut digunakan, menjadikan kuahnya lebih manis. Hidangan dari Pantai Timur ini dihidangkan bersama-sama ulam-ulaman segar serta sambal cili. Menariknya lagi, laksa ini juga mempunyai variasi lain, iaitu laksam, yang merupakan mee tebal dan leper yang merupakan hasil gulungan tepung beras.
Laksa Johor

Laksa Johor sangat unik kerana menggunakan mi spageti menggantikan laksa beras biasa. Kuahnya pula pekat dan kaya dengan rempah, ikan serta santan. Hidangan ini dihidangkan dengan timun parut, taugeh, bawang besar, daun kesum, sambal belacan dan perahan limau kasturi. Menariknya, laksa ini jarang ditemui di luar negeri Johor.
Kesimpulannya, laksa di Malaysia hadir dengan cerita dan identiti tersendiri. Dari rasa masam segar asam laksa Pulau Pinang, hingga ke kuah berlemak Laksa Kelantan, semuanya mencerminkan kepelbagaian budaya dan cita rasa masyarakat Malaysia.
Jadi, yang mana satu laksa kegemaran anda?