Bandung Pandan Spritz: Mocktail Kebangsaan Pertama di Malaysia
Nurul Atikah Sarji
8/5/2025

Malaysia kini secara rasminya mempunyai mocktail kebangsaan pertamanya. Diperkenalkan di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, minuman unik ini dinamakan Bandung Pandan Spritz, yang diilhamkan daripada minuman tempatan yang digemari ramai, Sirap Bandung.
Pelancaran ini adalah sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026, dan mocktail tersebut telah dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Signature VM 2026 Mocktail Championship 2025, menjadikannya minuman rasmi yang akan dihidangkan di hotel-hotel terpilih seluruh negara tahun hadapan.
Dicipta oleh Muhammad Nadzemi Norihan, seorang bartender muda dan berbakat dari Renaissance Kuala Lumpur, Bandung Pandan Spritz menggabungkan teknik moden seperti penjernihan (clarification) dan karbonasi untuk memberikan nafas baharu kepada rasa klasik. Hasilnya, satu minuman tanpa alkohol yang bukan sahaja menyegarkan, tetapi menggabungkan identititi Malaysia.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Eksekutif Makanan & Malaysia (MFBEA) dan Mixology Alliance of MFBEA (MAM), dengan kerjasama utama, Yeop Hiap Seng (Yes’s).
Pada majlis pelancaran, para tetamu berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan mocktail oleh Nadzemi sendiri. Dia menyatakan bahawa minuman ini merupakan inspirasi daripada minuman kegemarannya sejak kecil iaitu Sirap Bandung yang kini diolah menjadi hasil yang moden, tetapi masih mengekalkan jiwa tradisional.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya, lebih-lebih lagi kerana ini penyertaan pertama saya di peringkat kebangsaan. Ia adalah hasil kerjasama dan sokongan seluruh pasukan”, ujar Nadzemi.

Majlis ini turut dihadiri oleh wakil daripada industri perhotelan, media tempatan dan juga rakan strategik termasuk Tourism Malaysia. Minuman ini dijangka mula dihidangkan secara rasmi di hotel-hotel terpilih bermula awal tahun 2026, sebagai sebahagian daripada sambutan Visit Malaysia 2026.