7 Tip & Cara Meyimpan Daging dengan Betul
Ayu Nadirah
6/19/2024
Hari raya Aidiladha sememangnya meriah dengan aktiviti korban. Pembahagian daging korban dilakukan kepada penduduk sekitar dan pastinya anda akan menerima sedikit kuantiti daging yang perlu disimpan dalam peti sejuk kediaman anda. Daging mentah mesti diproses dan disimpan dengan baik bagi mengelakkan ia menjadi rosak, seterusnya tidak elok lagi untuk dimasak.

Dipetik daripada Public Health Malaysia, mereka ada kongsikan beberapa cara menyimpan daging dengan betul supaya ia boleh bertahan lama dalam kualiti terbaik. Anda boleh cuba tip ini:
Anda tidak perlu mencuci daging sebelum meyimpannya. Perbuatan ini akan meningkatkan risiko kontaminasi silang dengan percikan bakteria ke permukaan dan peralatan dapur yang lain.
Sebelum menyimpan, pastikan anda buang segala bendasing yang melekat pada daging seperti pasir, serpihan kayu dan daun pisang.
Setelah itu, potong daging kepada bahagian kecil dan asingkan ke dalam bekas kecil untuk disimpan. Ia akan memudahkan anda untuk bawa keluar untuk dimasak nanti.
Jangan lupa untuk label tarikh daging mula disimpan pada setiap bekas tadi.
Jangan sesekali masukkan terus plastik pembungkusan daging ke dalam ruang beku peti sejuk.
Simpan daging di bahagian paling sejuk dalam peti sejuk pada suhu bawah 4 darjah Celsius, jika ia akan digunakan dalam masa beberapa hari lagi.
Untuk penyimpanan yang lebih lama, bekukan daging dalam peti sejuk beku pada suhu -18 darjah Celsius atau lebih rendah.
Bagaimana pula cara untuk defrost daging beku?
Letakkan daging beku di bahagian paling bawah peti sejuk untuk mengelakkan air menitis dan mencemarkan barangan lain. Lakukan dalam tempoh 24 jam sebelum masak. Anda juga boleh gunakan ketuhar gelombang mikro untuk defrost daging beku.
Selain itu, anda juga boleh cuba kaedah ini untuk menjaga tekstur daging dengan baik:
Biarkan daging mentah dalam peti sejuk selama beberapa jam sebelum membekukannya. Proses ini membantu menurunkan suhu daging secara perlahan dan bertahap. Ia akan memastikan daging membeku dengan lebih cepat dan sekata apabila dipindahkan ke ruang peti beku, sekali gus mengurangkan pembentukan kristal ais besar yang boleh merosakkan tekstur daging berkenaan.
Perlu ingat! Jangan bekukan semula daging yang telah dicairkan kerana tindakan ini boleh meningkatkan risiko kontaminasi bakteria dan menjejaskan kualiti daging.
Selamat mencuba!