5 Resipi Mudah Bawah 30 Minit untuk Berbuka Puasa

Ayu Nadirah

2/20/2024

Bekerja dari pagi ke petang dan ada kekangan masa untuk sediakan juadah berbuka puasa yang enak? Kadang-kadang sampai kering idea nak masak apa? Okay, di sini kami kongsikan lima resipi mudah yang boleh anda cuba. Semuanya bukan saja boleh dimasak dalam masa kurang 30 minit, malah ia cukup kena dengan selera tekak Melayu. Jom tengok!

Tongkol Masak Kicap

Saiz hidangan: 2 orang

Tongkol_Masak_Kicap.jpg

Bahan-bahan:

2 ketul ikan tongkol hitam, dibersihkan, disapu sedikit garam dan digoreng separuh masak

5 ulas bawang merah, dimayang

2 ulas bawang putih, dimayang

2 biji buah pelaga

1 batang kulit kayu manis

1/2 labu bawang holland, dihiris nipis

1 sudu besar cili boh

1 sudu besar kicap pekat

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak untuk menumis

2 sudu air asam jawa

Cara penyediaan:

  1. Tumis buah pelaga, kulit kayu manis, bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
  2. Masukkan cili boh, kacau hingga garing dan masukkan kicap. Kacau sebati. Kemudian masukkan setengah cawan air masak. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan pula ikan tongkol yang sudah digoreng, bawang holland dan perasakan.
  4. Setelah siap, sedia dihidang bersama nasi panas.


Sambal Tumis Sesungut Sotong

Saiz hidangan: 2 orang

Sambal_Tumis_Sesungut_Sotong.jpg

Bahan-bahan:

1 paket sesungut sotong, dibersihkan, digaul sedikit garam dan digoreng separuh masak

Bahan kisar:

6 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

4 sudu besar cili boh

1 batang serai, dititik

1 sudu kecil air asam jawa

Garam secukup rasa

1 keping kecil gula nisan

Sedikit minyak untuk menumis

1 cawan air masak

Cara penyediaan:

  1. Tumis bahan kisar hingga naik bau dan masukkan serai yang telah dititik.

  2. Kemudian masukkan cili boh. Goreng hingga masak dan garing. Masukkan air asam jawa.

  3. Letakkan garam dan gula nisan. Tambahkan sedikit air sekiranya terlalu pekat atau kering.

  4. Akhir sekali, masukkan sotong yang telah digoreng sebentar tadi dan gaul sebati.

  5. Padamkan api dan juadah sedia untuk dihidang.


Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku dan Cendawan

Saiz hidangan: 2 orang

Masak_Lemak_Cili_Padi_Pucuk_Paku_dan_Cendawan.jpg

Bahan-bahan:

1 ikat pucuk paku bahagian pucuk dan daun yang lembut, dibersihkan

Sedikit cendawan hitam, dibersihkan

Sedikit cendawan tiram, dibersihkan

1 cawan air kosong

1 kotak atau 200g santan

2 asam keping

Garam secukup rasa

Bahan kisar:

Segenggam cili hijau

1 sudu besar cili boh

1 inci kunyit hidup

1 sudu kecil serbuk kunyit

Cara penyediaan:

  1. Panaskan air kosong dan masukkan bahan kisar. Biarkan mendidih kecil.

  2. Masukkan pucuk paku dan kedua-dua jenis cendawan.

  3. Kemudian masukkan pula santan dan kacau perlahan hingga mendidih kecil. Jangan biarkan santan pecah minyak.

  4. Setelah itu, perasakan dengan garam dan masukkan asam keping. Biarkan selama seminit ke dua minit dan padamkan api.

  5. Sekiranya terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit santan atau air kosong.


Peria Goreng Stail Mamak

Saiz hidangan: 2 orang

Peria_Goreng_Stail_Mamak.jpg

Bahan-bahan:

1 biji peria katak, dihiris nipis, direndam air garam dan ditos

1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung beras

1 sudu kecil garam

1 sudu kecil serbuk kunyit

1 sudu kecil serbuk paprika

1 cawan air kosong

Minyak masak secukupnya untuk menggoreng


Cara penyediaan:

  1. Adun tepung gandum dan semua bahan kering. Masukkan air sedikit demi sedikit. Pastikan adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
  2. Panaskan minyak, biarkan betul-betul panas dan kemudian perlahankan sedikit api.
  3. Kemudian celup hirisan peria ke dalam adunan dan goreng sehingga garing.
  4. Angkat dan toskan. Hidangan ini enak dimakan ketika masih panas.


Bubur Sagu Gula Melaka

Saiz hidangan: 2 orang

Bubur_Sagu_Gula_Melaka.jpg

Bahan-bahan:

1 paket kecil sagu, direbus hingga masak dan ditos

1 bekas buah kabung

1 tiub cincau

1 paket santan sawit

Sedikit gula merah sebagai pemanis

Cara penyediaan:

  1. Campurkan sagu, cincau dan buah kabung dalam satu bekas atau mangkuk besar.
  2. Kemudian tuangkan santan sawit dan gula perang yang telah dicairkan ke dalam.
  3. Kacau lembut semua bahan hingga sebati. Pemanis mulut ini enak dimakan setelah disejukkan.

Selamat mencuba!

Resipi_berbuka_puasa_oleh_Shaidah_Shafie.png