11 Tempat Makan Mesti Singgah Kalau ke Kuala Terengganu

Ayu Nadirah

5/28/2025

Kalau bercakap tentang Terengganu, pasti anda akan terkenangkan keenakan nasi dagang dan keropok lekor yang ada di sana. Makanan asli negeri ini sentiasa dicari ramai. Sekiranya anda merancang untuk ke Kuala Terengganu dalam masa terdekat, boleh jadikan senarai ini sebagai panduan mencari tempat makan menarik dengan harga berpatutan.

Nasi Dagang Atas Tol

Sebut sahaja tentang nasi dagang, kedai makan ini menjadi antara tempat yang sentiasa penuh dengan pelanggan. Mereka menyediakan hidangan nasi dagang dengan pilihan lauk gulai ikan aya atau ayam goreng. Anda juga boleh dapatkan nasi minyak, nasi lemak dan keropok lekor di sini. Rasa nasi dagang dan kuah gulai menepati cita rasa, cuma ia terasa sedikit manis dan kurang pedas. Mereka memiliki beberapa cawangan kedai sekitar Kuala Terengganu yang boleh anda pergi.

Nasi Dagang Atas Tol.png

Kuih Asap Kelong

Kuih tempatan di sini memang lain daripada yang lain. Anda boleh dapatkan kuih seperti akok, akok kedut pandan, akok kedut jagung, beker dan bahulu. Untuk pengetahuan anda, asap kelong bermaksud asap yang banyak semasa menyediakan kuih tradisional kerana pembakarannya menggunakan kayu, sabut dan tempurung kelapa bagi memastikan kuih dibakar dengan sempurna dalam acuan tembaga. Mereka menghidangkan kuih yang dibakar panas-panas dan enak dimakan terus.

Kuih Asap Kelong.png

Roti Paung Hiliran

Buat penggemar roti, anda perlu cuba rasai keenakan roti paung di Terengganu. Rotinya lembut gebu dan enak dimakan panas-panas. Mereka menyediakan pelbagai jenis roti paung seperti planta, kacang, sekaya, pandan dan keju. Antara yang menjadi pilihan ramai adalah roti paung planta dan roti paung keju. Sekali makan, pasti anda mahukan lagi!

Roti Paung Hiliran.png

Suerasa Nasi Kerabu

Kedai nasi kerabu ini dibuka seawal jam 6.30 pagi. Bayangkan awal sebegitu pun sudah ramai orang mula beratur untuk mendapatkan hidangan nasi kerabu mereka. Apabila kaki melangkah masuk ke dalam kedai makan ini, mata dan hidung anda akan terpikat dengan aroma ayam, daging dan kambing yang dibakar. Selain itu, terdapat juga pilihan lauk lain dan nasi dagang di sini juga tidak kurang enaknya!

Suerasa Nasi Kerabu.png

Restoran Singgang Budu

Restoran ini sentiasa dipenuhi pelanggan yang mahukan hidangan nasi campur. Mata anda akan tertumpu kepada barisan panjang lauk-pauk masakan kampung cita rasa pantai timur yang dihidangkan. Hidangan utama di sini sudah tentu nasi bersama ikan singgang dan budu. Restoran ini turut menghidangkan ikan bakar dan sotong bakar, selain aneka lauk-pauk yang lain.

Selera 7ujuh Malam

Kedai makan ini juga hadir dengan pilihan lauk-pauk yang banyak untuk memenuhi selera pelanggan yang ramai. Sampai saja ke sini, anda dihidangkan dengan barisan lauk-pauk selera tempatan seperti gulai, sambal, percik dan sebagainya. Terdapat juga hidangan bakar yang boleh anda cuba seperti ayam bakar, ikan bakar, sotong bakar dan lemak bakar.

Syrup vs Soda

Kalau anda ingin beralih selera daripada hidangan ala kampung, boleh datang ke restoran ini. Mereka popular dengan hidangan nasi goreng dan makanan barat enak dengan saiz hidangan yang besar. Pastikan anda cuba hidangan nasi goreng kambing dan nasi goreng itik yang menjadi pilihan ramai! Namun anda juga perlu bersabar menunggu giliran untuk makan kerana kebiasaannya restoran ini tidak putus dengan pelanggan.

Syrup vs Soda.png

Mia Ping Yaag

Buat anda yang meminati masakan ala Thai pula, boleh menjamu selera di kedai makan ini. Mereka mempunyai pilihan makanan daripada selera lokal sehingga ke selera Thai. Antara hidangan yang boleh anda cuba adalah perut bulat bakar, daging bakar, nasi goreng, nasi kerabu, tomyam, nasi air daging, kerabu maggi dan colek buah.

Warung Dalam Kenangan

Apabila tiba di Terengganu, jangan lupa untuk cuba juga hidangan celup tepung. Anda boleh pergi ke Pantai Batu Buruk, menikmati suasana petang di sana dan kemudian menjamu selera hidangan celup tepung di Warung Dalam Kenangan. Tempatnya begitu aman ditemani tiupan angin laut sepoi-sepoi bahasa. Selain itu, di tepi jalan berdekatan restoran ini juga terdapat gerai jualan makanan ringan seperti penkek, sosej, kerabu maggi dan banyak lagi.

Warung Dalam Kenangan.png

Pulau Warisan Street Food

Anda boleh singgah ke Pulau Warisan Street Food pada waktu malam untuk dapatkan variasi hidangan selera pantai timur dan luar. Ia umpama pasar malam yang meriah dengan jualan makanan seperti sate, nasi lemak, nasi minyak, colek, keropok lekor, ramen dan sebagainya. Selain itu, ada juga peniaga yang menjual baju di sini.

Pasar Payang

Apalah erti datang ke Kuala Terengganu sekiranya anda tidak berkunjung ke Pasar Payang. Pasar ini terkenal dengan jualan pelbagai jenis makanan dan pakaian. Di sini juga anda boleh dapatkan keropok lekor gemuk yang sedang viral diperkatakan ramai. Selain itu, banyak juga peniaga yang menjual pelbagai jenis keropok lekor untuk anda bawa pulang.

Pasar Payang.png

Terliur, bukan? Apa lagi makanan menarik di Kuala Terengganu untuk dicuba atau tempat tarikan yang boleh anda singgah? Mungkin kami akan kongsikan dalam artikel berikutnya. Nantikan!