Anda Mesti Cuba Salt Bread Viral Ini Kalau ke Seoul!
Ayu Nadirah
7/17/2024
Salt bread kini menjadi kegilaan di Seoul. Banyak kafe-kafe di sana yang menawarkan roti mentega gebu ini dengan taburan garam di atasnya. Mungkin terdengar biasa, namun ramai yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya!

Jayeondo Salt Bread yang memulakan trend ini dan mereka mempuyai tiga outlet di Seongsu, Dosan dan Ikseon-dong. Setiap hari orang memang tidak putus-putus berbaris untuk merasai keenakan salt bread yang disediakan. Proses membeli roti ini mudah sahaja sebenarnya. Anda hanya perlu beratur di kiosk dan lakukan pembelian dengan bantuan pekerja mereka. Setelah selesai membayar, anda perlu beratur pula pada barisan lain untuk mengambil roti yang telah siap dipek mengikut pesanan anda.
Rata-rata orang berkongsi yang mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan salt bread ini. Anggaran waktu menunggu mungkin sekitar 10 ke 20 minit sahaja. Anda boleh dapatkan salt bread dalam satu set yang mempunyai empat roti dengan harga 12,000 won.

Apa rasa salt bread ni?
Kedai bakeri ini menggunakan hanya bahan berkualiti tinggi seperti 100% top-grade Canadian wheat, 100% AOP-certified French butter dan sun-dried French salt. Salt bread ini mempunyai tektur yang lembut dengan aroma mentega yang membangkitkan selera. Rasa masin daripada taburan garam di atasnya cukup ringan dan tidak mengganggu rasa roti. Ia adalah hidangan roti yang ringkas, tetapi paduan rasa setiap bahan yang premium menjadikannya kaya dengan keenakan. Satu roti sahaja mesti tidak cukup!
Salt bread ini sebaiknya dimakan terus atau dalam masa sehari setelah pembelian untuk betul-betul menikmati kesegaran rasa roti. Selain hadir dengan rasa unik dan enak, anda pasti juga akan tertarik dengan cara pembungkusan mereka yang minimalis dan estetik.
Jom ke Seoul untuk dapatkan salt bread!