Masudaen Sohonten, Kedai Aiskrim Jepun Halal di Asakusa
Ayu Nadirah
7/21/2024

Terkenal dengan cita rasa autentiknya, Masudaen Sohonten yang merupakan kedai aiskrim dengan pensijilan halal di Asakusa ini rupanya sudah beroperasi selama kira-kira 157 tahun! Kedai tradisional Jepun ini diakui halal oleh Japan Halal Foundation. Mereka masih teguh berdiri sehingga ke hari ini dengan membawakan manisan Jepun yang menjadi kegemaran ramai.
Masudaen Sohonten mengetengahkan elemen budaya asli Jepun pada kedainya. Apabila anda menjejakkan kaki ke sini, anda dapat melihat kepelbagaian seni dan dekorasi Jepun yang membuahkan suasana mengalukan kedatangan anda. Selain itu, ia berlokasi hanya dua minit perjalanan kaki dari stesen Asakusa.

Apa yang paling menarik perhatian di kedai ini adalah dengan adanya aiskrim yang diakui halal. Japan Halal Foundation adalah organisasi yang dipertanggungjawab dalam memastikan setiap produk makanan menepati syarat halal, seterusnya membolehkan orang Islam di sana menikmatinya tanpa rasa ragu.
Masudaen Sohonten menggunakan bahan berkualiti tinggi dalam menghasilkan pemanis mulut sejuk yang amat sesuai dinikmati sewaktu cuaca panas di Tokyo. Mereka menawarkan empat perisa aiskrim iaitu vanila, matcha, vanila campur matcha dan roasted tea. Aiskrim matcha tentunya menjadi pilihan ramai di Masudaen Sohonten! Bukan sahaja terkenal dengan aiskrim, kedai tradisional Jepun ini juga menawarkan aneka snek dan minuman halal seperti teh yang berasal dari pelbagai daerah di Jepun.

Masudaen Sohonten
Alamat: 1 chome-1-17 Asakusa, Taito City, Tokyo 111-0032, Jepun
Waktu operasi: Setiap hari, 8.30 pagi - 7 malam
Jelajah negara matahari terbit dengan pakej mampu milik di ikhlas.com Travel!