Hidangan Nasi Padang di Pagi Sore Jakarta Pedas, Enak Tak Terkata!
Ayu Nadirah
6/3/2025
Hidangan nasi padang dengan keunikan rasa pedasnya sentiasa dicari-cari di bumi Indonesia. Antara restoran yang kerap menjadi buah mulut ramai adalah Pagi Sore yang berlokasi di Jakarta!
Pagi Sore menyediakan aneka juadah dan lauk-pauk padang yang rasanya cukup autentik. Di sini, caranya adalah pelayan akan meletakkan lauk dalam pinggan kecil yang bertutup plastik di atas meja pelanggan. Kemudian anda boleh ambil, buka plastik dan makan lauk yang diinginkan. Anda perlu membayar lauk yang telah dibuka sahaja.
Masakan Padang Pedas Memuaskan
Kami tiba di restoran Pagi Sore yang terletak di PIK ini seawal jam 10 pagi. Ramai juga orang seperti kami yang teringin masakan padang seawal itu. Rambang mata dibuatnya kala pelayan restoran meletakkan lauk-pauk yang ada di atas meja! Antara hidangan yang telah kami cuba adalah ayam pop, rendang daging, sambal udang tofu, dendeng sambal merah dan kulit lembu dengan kuah gulai.
Ayam pop isinya lembut berjus dan lebih enak apabila berpadu dengan sambal yang disediakan. Selain itu, hidangan rendang daging, sambal udang tofu dan dendeng sambal merah juga terasa kaya dengan rempah dan kepedasannya yang membuatkan kami bertambah dua pinggan nasi. Rendang daging di Pagi Sore terasa berbeza dengan rendang yang pernah kami cuba di tempat lain. Ia kaya dengan rasa rempah, pedas yang tidak keterlaluan dan mengangkat cita rasa asli minang.
Kemudian kami hilangkan pula dahaga dengan air jagung yang tidak lokek dengan butiran jagung di dalamnya. Anda juga boleh memesan hidangan pemanis mulut selepas kenyang menikmati hidangan utama di Pagi Sore seperti es campur dan es teler.
Kemudahan Selesa buat Pelanggan
Selain terkenal dengan keenakan hidangan nasi padang, restoran ini juga bijak dalam menambat hati pelanggan dengan menyediakan ruang parkir yang luas dan persekitaran restoran yang selesa berhawa dingin. Pelanggan boleh habiskan masa menjamu selera dengan tenang. Selain di PIK, anda boleh ke beberapa cawangan lain sekitar Jakarta.
Pilihan yang Berbaloi
Mungkin setelah mencuba masakan padang di Pagi Sore, anda merasakan harganya agak mahal berbanding restoran nasi padang yang lain. Namun, bagi kami ia berbaloi dengan servis dan keenakan masakan yang mereka hidangkan. Selepas ini, kalau pergi ke Jakarta, pasti akan singgah makan di Pagi Sore dahulu! Rasanya tidak lengkap kunjungan ke kota ini tanpa merasa masakan padang di Pagi Sore.