5 Tempat Makan Viral di Blok M, Jakarta
Ayu Nadirah
5/22/2025
Blok M Jakarta menjadi tarikan terbaru paling digilai penduduk tempatan dan juga pelancong luar. Kalau anda tiba di sini, mata pastinya mudah tertarik dengan keunikan yang dipersembahkan. Mereka bijak bermain dengan seni dan kulinari yang ternyata mudah menangkap perhatian golongan muda masa kini. Terdapat tiga lokasi utama yang ada di Blok M iaitu Blok M Plaza (pusat membeli-belah utama), Blok M Square (kawasan membeli-belah Little Tokyo) dan M Bloc.
Selain boleh dapatkan pelbagai barangan unik dengan harga berpatutan di sekitar Blok M, kawasan ini juga amat terkenal dengan adanya variasi makanan enak yang boleh anda cuba! Ayuh lihat lima tempat makan yang sempat kami cuba di Blok M.
Cap Roti Buaya
Buat penggemar roti, anda mesti cuba roti berbentuk buaya di sini. Kedainya tampak menarik dengan tarikan rona merah. Hidangan yang disediakan pula cukup ringkas, iaitu roti dengan pilihan inti berbeza seperti coklat, sarikaya, strawberi, keju dan tiramisu.
Terdapat juga pilihan roti bersama aiskrim, selain anda juga boleh memesan roti yang besar untuk dikongsi bersama. Daripada segi rasa, rotinya amat lembut dan bertambah enak dengan paduan inti yang manis. Anda juga boleh dapatkan minuman seperti kopi susu di kafe ini.
Scarlett’s House
Satu lagi lokasi viral di Blok M yang menjadi tempat tumpuan penggemar hidangan manis seperti kek dan tart. Salah satu kek mereka yang sering dipesan pelanggan adalah Tiramisu Cake. Selain itu, ada juga pilihan kek yang lain seperti Classic Blackforest Cake, Peach Earl Grey Cake, Chocolate Orange Cake dan Jasmine & Bergamot Cheesecake.
Oleh kerana kafe ini sentiasa padat dengan pelanggan, jadi anda perlu beratur dan bersabar sedikit untuk merasai keenakan makanan yang disediakan.
Busy Cheese Cafe
Kafe ini juga tidak kurang hebatnya. Terlihat minimalis, namun hidangan yang disediakan padat dengan rasa yang tidak mudah untuk dilupakan. Mereka terkenal dengan kek keju lembut. Pilihan yang boleh anda dapatkan di sini adalah Cheesecake, Dulce Chocolat Black, Truffle Cheesecake dan Chocolat Mousse.
Suapan pertama saja boleh membuatkan anda jatuh cinta dengan keunikan rasa kek keju di sini. Rasanya lemak berkeju dan tidak terlalu manis. Setiap suapan membuahkan keenakan kek lembut umpama suapan aiskrim. Begitu juga dengan Chocolat Mousse yang enak dan meletus cair dalam mulut.
Mack’s Creamery
Seterusnya, terletak hanya bersebelahan dengan Busy Cheese Cafe, kafe aiskrim ini juga menjadi tumpuan orang ramai untuk beratur dan dapatkan aiskrim mereka. Sewaktu beratur di luar kafe, pekerjanya akan memberikan anda kertas pesanan yang boleh anda lihat senarai perisa aiskrim yang mereka tawarkan. Setelah masuk ke dalam kafe, anda hanya perlu serahkan kertas tadi kepada pekerja untuk mereka ambil pesanan anda.
Anda juga boleh cuba perisa yang ada terlebih dahulu sebelum membeli. Setiap perisa aiskrim hadir dengan kombinasi rasa yang unik dan berpadu lazat. Antaranya adalah brown butter popcorn, cereal milk, melon milkis, burnt banana blueberry, kopi susu oat, matcha, raspberry rose lychee dan mediterranean pistachio. Anda pasti rambang mata melihatnya!
Toko Kopi Tuku
Sudah puas menjamu selera dengan aneka hidangan pemanis mulut, anda boleh teruskan perjalanan dengan merasai pula kopi lokal. Kafe kopi ini dibangunkan dengan keluasan kecil dan tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai. Kopi Susu Tetangga menjadi pilihan popular, sementara anda boleh juga memesan minuman lain seperti latte, cappuccino, caramel, mocha atau coklat.
Kopi di kafe ini boleh dikatakan murah dan enak. Selain itu, servis mereka juga pantas dan tidaklah perlu menunggu terlalu lama biarpun barisan di luar kedai terlihat panjang.
Kalau anda sudah merancang untuk ke Jakarta dan makan-makan di sekitar Blok M, jangan lupa untuk tempah hotel terbaik yang ada di sana. Anda boleh dapatkan sedikit panduan di sini: Senarai 15 Hotel Bajet Terbaik di Pusat Bandar Jakarta.