9 Makanan Instant Yang Mesti Bawa Semasa Travel
Hanan Latip
7/1/2024
Jika pergi melancong ke luar negara, pastinya makanan akan menjadi isu utama yang dikhuatiri kerana atas faktor kena atau tidak dengan selera makan. Lebih-lebih lagi, kita mempunyai selera Melayu yang pasti inginkan rasa pedas walaupun sedikit. Jika anda pergi ke lokasi yang minoriti Islam, sudah tentu sedikit sukar untuk mencari makanan halal. Jadi nak buat macam mana? Mari kami akan bantu anda dalam membuat keputusan penting ini!
1. Pek makanan travel
Pek makanan travel selalu menjadi pilihan kegemaran bagi sesiapa yang keluar melancong kerana ianya mudah untuk dibawa, cepat dan senang disediakan! Anda hanya perlu ikut panduan ‘memasak’ pek makanan tersebut dan boleh makan di mana-mana saja. Selalunya portion makanan travel adalah banyak dan besar berbanding yang lain.
Anda boleh baca artikel 4 Jenama Pek Makanan Travel yang Anda Mesti Bawa di sini.
2. Bubur instant
Bubur instant pula merupakan pilihan bagi mereka yang inginkan makanan yang mengenyangkan dan boleh diterima oleh semua peringkat usia dari dewasa hingga kanak-kanak. Bubur juga antara pilihan terbaik jika anda tidak mempunyai selera makan selepas berjam-jam berada di atas pesawat.
3. Mee segera
Tidak lengkap rasanya jika tidak bawa pek mee segera apabila melancong. Untuk mudahkan kerja anda, dapatkan mee segera di dalam paket cawan ya! Ia sudah datang dengan set garfu juga cawan yang sedia dihidang hanya tuang air panas. Pilihan ini sangat membantu anda untuk menjimatkan masa. Dapatlah anda luangkan lebih masa untuk bersiar-siarkan? Mee segera jenis ini datang dengan pelbagai perisa, anda hanya perlu pilih dan beli saja!
4. Serunding
Serunding antara makanan pilihan untuk di bawa kerana boleh dijadikan lauk dan penyedap makanan kerana rasanya manis dan pedas lagi membangkitkan selera untuk makan bersama bubur, nasi dan juga roti. Serunding pun ada pelbagai jenis seperti serunding ayam, serunding daging, serunding ikan dan serunding ikan bilis. Ia juga sesuai kerana serunding selalunya kering dan tak mudah untuk pecah. Khuatir jika pek makanan yang dibawa berminyak dan kotorkan bagasi anda. Nanti hilang mood pula!
5. Makanan dalam tin
Portion makanan di dalam tin amatlah berbaloi disediakan jika anda bercuti dalam kumpulan lebih daripada tiga orang dan ke atas. Ada banyak jenama yang telah mengeluarkan makanan di dalam tin seperti tuna, rendang ayam, kari ayam dan pelbagai lagi. Jadi, anda mempunyai banyak pilihan makanan dan jenama yang boleh dibeli dan dimakan kelak.
6. Roti
Roti pun tidak kurang penting, lagi-lagi jika anda mungkin tidak berselera untuk makan makanan yang berat sepanjang perjalanan yang jauh dan bolehlah dijadikan alas perut. Jika anda bawa roti dari Malaysia, setidak-tidaknya anda yakin untuk makan kerana dijamin halal. Hal ini kerana jika anda bercuti di luar negara, kandungan makanan roti pasti agak kurang meyakinkan dan tidak dijamin halal.
7. Minuman 3 in 1
Kalau anda bawa paket minuman 3 in 1, ia dapat bantu panaskan badan lebih-lebih lagi jika anda melancong ke luar negara ketika musim sejuk. Dapatlah jimatkan sedikit duit daripada kerap beli air kopi yang pastinya nilai matawangnya lebih mahal daripada Ringgit Malaysia. Adalah bajet lebih sedikit untuk membeli-belah kan! Lagipun, kalau ada biskut dan roti, anda boleh buat sebagai cicahan. Memang sedap!
8. Snacks
Makanan snacking seperti energy bar, coklat dan biskut juga tidak kurang pentingnya, dapat bantu membekalkan tenaga kerana mungkin anda akan kepenatan berjalan banyak di negara orang. Barangkali juga, anda sukar jumpa tempat rehat yang sesuai atau jarak ke hotel mengambil sedikit masa, makanan snacks inilah akan menjadi penyelamat anda!
9. Sos cili, kicap & sambal
Kalau pergi ke tempat orang, kadang-kala cara masakan juga menu mereka tidak sama dengan selera juga citarasa kita. Maklumlah makanan di Malaysia kan kaya dengan rasa juga rempah ratusnya. Takkan nak berlapar pula kan sepanjang bercuti? Sediakan tiub yang berisi sos cili, kicap atau sambal agar dapat jadi penyelamat. Tapi harus diingat memadai hanya sediakan dalam botol atau tiub bersaiz kecil kerana kita harus juga menjaga adab dalam membawa makanan luar ke dalam premis restoran orang. Janganlah pula bawa sebotol kicap saiz seperti di rumah ya! Ada yang kena geledah bagasi di lapangan terbang nanti!
Diharapkan perkongsian ini membantu anda dalam membuat keputusan membawa makanan semasa bercuti nanti! Semoga bermanfaat.