[Jom, Makan Mana?] Cuba Ayam Panggang Ketuhar di Oppadak (Bawah RM100!)

Ayu Nadirah

1/23/2024

Oppadak_9.jpg

Sudah menjadi trend masa kini, ramai tercari-cari hidangan dari Korea yang terdiri daripada ayam sos Korea, ramen pedas, bingsu dan sebagainya. Makanan Korea sememangnya mempunyai peminat tersendiri di negara ini. Kami juga tidak mahu ketinggalan dalam menikmati keenakan hidangan mereka. Baru-baru ini, kami telah berkesempatan untuk ke Oppadak yang berlokasi di IOI City Mall di Putrajaya! Selain di sini, Oppadak memiliki tiga lagi cawangan di lokasi berbeza yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur, Central i-City Shah Alam dan AEON Shah Alam. Apa yang lebih menarik adalah ia diterbangkan terus dari negara Korea sendiri. Jadi anda memang boleh harapkan seleksi makanan Korea cita rasa autentik di restoran ini.

Kedai pertama Oppadak dibuka di Yeongdeungpo, Seoul pada tahun 1996. Kemudian pada tahun 2000, Etang Corporation ditubuhkan dan sejak itu sistem francais berjalan untuk menyebarkan keenakan makanan mereka ke merata tempat. Sehingga ke hari ini, mereka telah memiliki lebih daripada 500 francais di seluruh Korea!

Oppadak_2.jpg

Makanan pertama yang kami cuba adalah hidangan terbaru yang ada di Oppadak, iaitu Cheese Stick. Ia boleh dikongsi seramai dua ke tiga orang. Penggemar keju mesti suka hidangan ringan ini! Stik keju hadir dengan isi yang lembut, selain luarnya yang rangup dengan salutan serbuk roti dan taburan keju. Rasanya yang lemak dan sedikit manis sesuai menjadi hidangan permulaan di Oppadak.

Oppadak.jpg
Cheese Stick (RM19.80)

Hidangan utama yang menjadi pilihan kami adalah Cheese Platter. Hidangan besar ini didatangkan dengan Roasted Chicken Wings (kami memilih Soy Sauce), Cheese Sprinkle Baked Boneless Chicken Thigh dan Cheezy Fries. Paling menarik, ada juga cheese fondue! Anda boleh salutkan ayam dengan keju melimpah yang pastinya menambah lagi keenakan hidangan ini. Rasa berlemak masin pada keju cukup melengkapi raya ayamnya yang manis.

Oppadak_5.jpg
Cheese Platter (RM63.90)

Untuk pengetahuan anda, restoran Oppadak terkenal dengan hidangan ayam bernutrisi dan lazat. Kaedah memasaknya juga unik, di mana ayam dipanggang di dalam ketuhar yang telah dipatenkan. Jenama Oppadak itu sendiri membawa makna ayam yang jatuh ke dalam ketuhar. Mereka menggunakan ketuhar gabungan antara stim dan haba panas dengan suhu lebih 200 darjah Celsius. Hasilnya, anda dapat merasa hidangan ayam yang rangup di luar seperti ayam goreng dan lembut berjus di dalamnya. Apa yang lebih menarik adalah ayam mereka dipanggang tanpa menggunakan minyak, jadi ia rendah lemak dan kolesterol. Pilihan yang lebih sihat untuk anda yang mementingkan soal pemakanan berkhasiat dan kesihatan, namun tetap mahu menikmati aneka makanan yang enak.

Seterusnya, beralih pula kepada hidangan yang paling menangkap selera kami di Oppadak! Ia adalah Kimchi Budae Jjigae, iaitu menu seasonal mereka. Hidangan ini didatangkan dengan roasted boneless chicken, kimchi, ramen, tteokbokki, sosej, ham, chicken luncheon meat, baked beans dan nasi. Apabila hidangan ini sampai ke meja, anda perlu masukkan sos budae jjigae ke dalam dan biarkan ia masak perlahan selama tiga minit. Campuran stew bersama kimchi menjadikan kuahnya kaya dengan rasa manis, masam dan sedikit pedas. Gabungan yang membangkitkan deria rasa kami! Setelah ramen dimakan separuh, kami masukkan pula semangkuk nasi ke dalam stew dan gaul rata semua bahan yang ada. Hidangan yang boleh dikongsi seramai tiga ke empat orang ini memang mengenyangkan!

Oppadak_3.jpg

Oppadak_7.jpg
Kimchi Budae Jjigae (RM63.90)

Tidak lengkap momen menjamu selera tanpa adanya minuman menyegarkan dan pemanis mulut. Kami memilih lima jenis minuman iaitu Morning Spring, Yuzu Mint, Lychee Blue, Traffic Like dan Chocolate Ice Cream Shake. Setiap satu mempunyai rasa manis dan masam yang tersendiri. Kalau anda sukakan sesuatu yang lebih berlemak manis, boleh cuba Chocolate Ice Cream Shake!

IMG_7302.jpg
Yuzu Mint (RM12.90), Morning Spring (RM12.90), Lychee Blue (RM13.90), Traffic Like (RM14.90) dan Chocolate Ice Cream Shake (RM16.90)

Hidangan pemanis mulut pula kami memilih Caramel Popcorn Bingsu yang datang dengan suatu 'persembahan' yang memukau! Bingsu diletakkan di atas pinggan besar dengan efek ais kering. Daripada segi rasa pula, padanan rasa susu dan karamel ia tidak keterlaluan manis. Sesuai menjadi hidangan penghujung yang tidak muak dan masih memuaskan perut.

Oppadak_11.jpg
Caramel Popcorn Bingsu (RM22.90)

Secara keseluruhan, berbaloi untuk anda datang sendiri dan cuba hidangan yang ditawarkan di Oppadak. Banyak lagi makanan yang ada di sini seperti Baked dan Roasted Chicken dengan pelbagai pilihan sos, Spicy Dakgalbi Noodle, Bibimbap, Kimchi Ramen, Oden dan Cheese Kimchi Bokkeumbap. Selain itu, anda juga boleh merasai pengalaman mengenakan Hanbok di restoran ini secara percuma! Bolehlah bergaya dengan Hanbok dan abadikan momen dengan bergambar di Oppadak!

Oppadak_4.jpg

Lokasi kedai:

Pavilion Kuala Lumpur, Lot 7.01.01, Level 7, Dining Loft, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur.

IOI City Mall, LG-46, IOI Resort City, 62502 Putrajaya.

Central i-City, L3-20, No 1, Jalan Multimedia, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

AEON Mall Shah Alam, G09, Jalan Akuatik 13/64, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor.

Waktu operasi: Setiap hari, 10 pagi - 10 malam.


Jadi tunggu apa lagi, jom pergi dan menjamu selera di Oppadak, Oven Baked Chicken sekarang!