Pelajaran Dalam Umrah
Aziz Ben Alawi
1/1/1970
Segala macam ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan umrah, meskipun berbeza bentuk dan waktunya dan kadarnya, membawa kepada satu matlamat, iaitu menzahirkan makna pengabdian diri dan meraih keredhaan Allah SWT.
Di sini akan diusahakan suatu pencerahan kepada makna dan didikan dalam ibadat umrah yang merupakan cabang daripada ibadat haji, malah disebutkan sebagai haji kecil. Bermula dari perjalanan menuju ke Kota Mekah, berihram, tawaf, sa’i dan tahallul.
Perjalanan menuju ke Kota Mekah itu sendiri merupakan suatu bentuk ujian dan latihan buat diri. Apakah sanggup meninggalkan ahli keluarga, kaum kerabat, para sahabat dan harta, demi memenuhi panggilan ilahi. Apakah sudah dipersiapkan bekalan buat diri sepanjang perjalanan tersebut, sepertinya persiapan diri dari dunia lagi demi perjalanan di akhirat kelak. Langkahnya dipandu hati yang cekal dan dedikasi sambil mengucapkan, “Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu ya Allah!”
Setelah tiba ke miqat di mana jemaah akan berniat ihram, dipakaikan pada tubuh hanya dua helai kain putih sebagai sarung dan selendang. Hal ini memberikan peringatan tentang pengalaman di saat kematian, di mana diri hanya akan dibungkus dengan beberapa helai kain kafan. Tiada lagi pakaian kemewahan, wangian, dan perhiasan, lalu terbisik di dalam hati, “Seakan aku tidak pernah memiliki sesuatu pun.”
Perbuatan tawaf mengelilingi Kaabah itu pula, bersamaan dengan perbuatan para malaikat di Baitul Makmur di mana mereka akan berterusan tawaf sehingga Hari Kiamat. Adapun pada kita, ianya mencerminkan hakikat kehidupan yang berkitaran seperti yang telah diaturkan Allah SWT dan kita tidak akan dapat lari dari kembali kepada titik permulaan. “Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita akan kembali.”
Sa’i pula mengenang kembali peristiwa Siti Hajar mencari air buat anaknya Nabi Ismail AS. Antara pengajaran yang dapat disimpulkan darinya adalah, sesuatu itu tidak dapat dicapai melainkan dengan usaha yang disertakan tawakkal kepada Allah SWT. Berulang-alik antara Safa dan Marwah, seakan mendidik keseimbangan dalam hidup antara mengusahakan dunia tanpa melupakan akhirat. Yakni, bergiliran antara usaha buat dunia dan usaha buat akhirat.
Penutup umrah adalah tahallul iaitu mencukur atau menggunting rambut sekaligus melepaskan diri dari ihram. Perbuatan ini seakan membuang bahagian diri, sama ada perasaan di hati atau kebiasaan tingkah laku yang buruk demi membolehkan diri berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Adalah sunat sesudah bertahallul itu, kembali kepada Kaabah untuk mencium Hajar Aswad. Mengenainya Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menyentuh Hajar Aswad bererti dia telah menjabat tangan Ar-Rahman.” (HR Ibnu Majah) Hadis ini mengertikan bahawa perbuatan itu seakan mengikrarkan janji kepada Allah SWT untuk menjadi patuh dengan kerelaan.