Mencintai Rasulullah - Mencintai Ahli Keluarga Rasulullah SAW
Aziz Ben Alawi
1/1/1970
Kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan syarat dan tanda kesempurnaan iman dalam diri seorang muslim. Tiada yang mengenali Rasulullah SAW kecuali akan terpaut dalam kecintaan kepada baginda. Sama ada dari golongan manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan sebagainya.
Keturunan Rasulullah SAW adalah antara limpahan kurnia yang dikekalkan Allah SWT buat umat Islam sehingga Hari Kiamat. Baginda SAW sendiri berwasiat kepada umat; untuk patuh dan setia kepada mereka. Imam Mahdi yang dinantikan pada akhir zaman kelak, adalah dari keturunan Rasulullah SAW.
Para pencinta Rasulullah SAW tanpa soal dan ragu akan mencintai ahli keluarga baginda dan keturunan mereka dengan sebab cintanya mereka kepada Rasulullah SAW. Demikian adalah apa yang telah dipamerkan oleh para sahabat sekaliannya. Cukuplah bagi kita sebagai renungan, apa yang dituturkan oleh Sayyidina Abu Bakar RA, “Sesungguhnya ahli keluarga Rasulullah SAW lebih aku cintai berbanding ahli keluargaku sendiri.”
Sekiranya Sayyidina Abu Bakar RA, yang merupakan sahabat karib baginda SAW, bapa mentua kepadanya, satu-satunya yang bersama baginda SAW ketika berhijrah ke Madinah, disifatkan oleh baginda; tiada yang dapat menandingi keimanan beliau dan dilantik oleh baginda sendiri sebagai khalifah yang pertama, mengikrarkan cinta yang sedemikian. Seharusnya bagi kita, hanya turut patuh dan melakukan hal yang sama; mengikrarkan cinta kepada keluarga Rasulullah SAW.
Namun, selain dari mencintai, patuh dan setia kepada ahli keluarga Rasulullah SAW hanya kerana hubungan mereka kepada baginda, adakah sebab yang lain bagi perkara itu? Sudah tentu, kerana baginda SAW bukan berhasrat untuk mengangkat kedudukan ahli keluarga sendiri. Baginda SAW tidak bertindak melainkan dengan adanya perintah daripada Allah SWT.
Keistimewaan utama ahli keluarga Rasulullah SAW dan keturunan mereka, adalah kefahaman mereka yang lebih mendalam dan meluas dalam ilmu agama. Umum para sahabat hanya bersama Rasulullah SAW ketika di masjid atau bila-bila sahaja baginda keluar dari rumah, tiada yang dapat mengikuti baginda sampai ke dalam rumah. Maka banyak sahaja bahagian dari ilmu-ilmu agama yang telah disampaikan hanya kepada ahli keluarga Rasulullah SAW.
Kekeliruan yang menimpa masyarakat setelah kewafatan Rasulullah SAW telah banyak dirungkaikan oleh ahli keluarga baginda sendiri. Isteri-isteri baginda semuanya telah berjasa dalam mendidik dan mewariskan ilmu kepada generasi yang sesudah mereka. Imam Hasan Al-Basri misalnya, telah membesar di bawah didikan Siti Ummu Salamah RA. Siti Aisyah RA pula, merupakan antara yang paling banyak meriwayatkan hadis, juga antara yang paling hebat dalam permasalahan hukum-hakam, ilmu bahasa dan sejarah bangsa Arab.
Demikianlah wajah Islam yang sebenar, bukan berpandukan kecintaan yang sesat. Mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW dan keturunan mereka terdapatnya manfaat. Yang membawa kepada tujuan yang diinginkan Islam; kejayaan di dunia dan akhirat.