Sedekah Membersihkan Hati

Aziz Ben Alawi

1/1/1970

Sedekah merupakan suatu bentuk amalan yang difahami ertinya oleh semua, hanya sahaja perspektif setiap individu terhadapnya berbeza. Dari golongan yang memandang sedekah sebagai bentuk untuk memelihara kehidupan orang lain, sehingga kepada golongan yang memandangnya sebagai suatu bentuk pembukaan pintu rezeki.

Demikian itu kerana terdapat banyak hikmah pada sedekah, dan setiap golongan akan merasakan hikmah itu sesuai perihal masing-masing. Fakta yang dipersetujui semua pihak adalah sedekah merupakan suatu amalan yang memberikan manfaat besar kepada masyarakat dan meninggalkan sedekah akan melahirkan permasalahan dalam masyarakat.

Selain manfaat yang dapat disaksikan dengan mata kasar, amalan bersedekah itu sebenarnya suatu jalan penyucian jiwa. Antara penyakit hati yang boleh mengambil akar di dalam hati seorang insan adalah kebakhilan, perasaan kedekut merasakan tiada bahagian buat orang lain dalam harta miliknya sedangkan pemilik yang sebenar hanyalah Allah SWT. Yang ada buat makhluk hanyalah izin pinjaman dan bukanlah izin pemilikan.

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa antara sebab kejatuhan umat Islam, atau boleh diertikan sebagai sebab kejatuhan nilai diri seseorang, adalah kerana penyakit ‘al-wahn’ yakni cintakan dunia dan takut kematian. Melalui sabda ini, Rasulullah SAW menegaskan kepada umatnya bahawa seorang muslim itu tidak boleh membiarkan kedua sifat tersebut mengambil akar dalam jiwanya.

Kesedaran manusia semakin kurang bahawa usianya di medan dunia ini akan berakhir dan perpisahan dari segala hartanya tidak dapat dielakkan. Kemahuannya adalah selagi mampu, akan dibelanjakan segala kekayaan demi meneruskan kehidupan di dunia ini. Nilai murni kemanusiaan telah lama pudar dari jiwanya, kebakhilan dan ‘al-wahn’ dibiarkan tertumbuh mekar di dalam jiwa dan akibatnya menjatuhkan martabatnya di dunia dan di akhirat.

Dan kiranya ada di kalangan hamba yang melihat sedekah itu sebagai jalan untuk menambahkan kekayaan, maka berwaspadalah! Jangan dicemarkan sedekah itu dengan niat mengejar dunia, tetapi murnikanlah sedekah itu dengan keikhlasan yang hanya menyerahkan bentuk pembalasan dari Allah SWT dengan cara dan pada masa yang diinginkanNya bukan dalam bentuk dan pada masa yang kita inginkan. Dan tiadalah berhak seorang hamba mendesak kehendaknya ke atas Allah SWT.