Solat Tiang Agama
Aziz Ben Alawi
2023-03-11
Masyhur di kalangan masyarakat sejak bergenerasi, ungkapan ‘Solat adalah tiang agama’. Demikian adalah apa yang diambil dari sebuah hadis riwayat Sayyidina Muaz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.” (HR Tirmizi)
Namun sejauh manakah kefahaman kita tentang sabda tersebut? Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Syeikh Mutawalli As-Sya'rawi.
“Manusia adalah ciptaan Allah SWT, dan ciptaan (manusia) itu berdiri di hadapan Penciptanya lima kali setiap hari. Maka seharusnya manusia itu menjadi sempurna hasil tindakan tersebut. Seorang jurutera membaiki alatnya atau mesinnya dengan cara yang fizikal. Tetapi Allah SWT ghaib dari mata kasar kita, dan Dia membersihkan kita melalui cara-cara yang ghaib juga setiap kali kita berdiri menghadapNya. Tanpa diketahui bagaimana, kamu merasakan ketenangan, hilangnya kekusutan dan iman bertambah kuat. Demikian itu, solat meningkatkan kekuatan diri manusia untuk memenuhi kewajipan yang selainnya.
Rukun Islam terdiri atas lima perkara,
1. Menyaksikan tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Muhammad SAW adalah utusanNya,
2. Mendirikan solat.
3. Berpuasa Ramadan
4. Menunaikan zakat.
5. Menunaikan haji.
Renungkan perkara-perkara ini, boleh jadi tidak sempurna kesemua rukun itu pada diri seseorang. Benar, ia adalah rukun-rukun Islam namun bukan rukun-rukun yang dapat dipenuhi setiap Muslim. Boleh jadi kerana seorang Muslim itu miskin, maka tergugurlah kewajipan zakat darinya. Terkadang juga seorang Muslim itu ditimpa sakit atau musafir, maka tergugur darinya kewajipan puasa. Atau tiada kemampuan untuk menunaikan haji, maka gugur lagi kewajipan tersebut darinya.
Rukun yang mampu dipenuhi setiap Muslim itu adalah mengucapkan dua kalimat syahadah dan mendirikan solat. Rukun pertama dapat dipenuhi hanya dengan satu kali lafaz sepanjang hidup anda. Rukun kedua pula selamanya tidak akan tergugur dari seseorang. Sekalipun dalam peperangan, atau jika sakit maka dibolehkan solat dalam keadaan duduk. Sehingga tahap solat itu boleh didirikan dengan hati bagi yang sangat tenat sakitnya. Tidak ada uzur yang boleh menggugurkan kewajipan solat.”
Dari sini akan muncul rahsia erti ‘Solat itu tiang agama’, bahawa padanya terhimpun setiap lima rukun Islam. Dalam mendirikan solat anda harus mengucapkan dua kalimah syahadah, rukun Islam yang pertama. Puasa pula bererti menahan diri dari keinginan perutnya dan kemaluannya pada siang hari Ramadan. Pada solat juga terdapat larangan seumpamanya; tidak boleh bergerak, berbicara dan banyak lagi. Dengan itu sudah dipenuhi rukun puasa dalam solat.
Zakat bererti mengeluarkan sebahagian dari harta dan diberikan kepada golongan yang memerlukan. Harta adalah hasil suatu pekerjaan, dan pekerjaan itu memakan masa. Tanpa membelanjakan masa, tidak akan berhasil suatu pekerjaan dan tidak mendapat harta. Solat tidak mengambil terus dari harta kamu, hanya dari masa kamu yang dengannya akan berhasil kerja dan mendapat harta. Walaupun seseorang meluangkan satu jam dari 24 jam sehari untuk mendirikan solat hingga merasakan rugi masa tersebut. Ingatlah Allah SWT menjanjikan penambahan buat harta yang dijadikan zakat, dengan itu juga Allah SWT boleh menambahkan keberkatan pada masa kamu yang tersisa. Demikian dipenuhi rukun zakat melalui solat.
Haji adalah kamu menghadirkan diri di Baitullah, dalam solat juga kamu mengarah ke Baitullah dan menghadirkan hati kepadanya. Begitulah sempurnanya kesemua lima rukun Islam pada solat, dan itulah makna ‘Solat tiang agama’.”
Nota: Beberapa perubahan telah dilakukan pada kata asal Syeikh Sya’rawi bagi memudahkan peralihan bahasa. Namun makna yang ingin disampaikan tiada digugurkan.